Di dalam al-Quran Allah s.w.t. berfirman "Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya ia bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." Allah s.w.t. sifatkan orang yang berguna untuk diberikan peringatan, yang mengambil peringatan adalah orang yang beriman.
Kalau kita check diri kita, kadang-kadang orang kasi nasihat tak lut, tak ada kesan, kita malas nak terima. Bermakna kita ada masalah iman sebab orang yang beriman pasti bermanfaat kepadanya akan peringatan dan nasihat.
Oleh kerana itu, Nabi s.a.w. mengatakan "Beruntunglah orang yang mendapatkan nasihat."
Beruntunglah orang yang mendapatkan nasihat kata Nabi s.a.w. Akan tetapi, kalau kita mendapat nasihat, kita merasa rugi bahkan kita merasa lekeh, kita merasa kita diingatkan sehingga kita merasa hina. Bermakna masalahnya bukan masalah orang yang memberi nasihat itu, tapi masalahnya adalah iman kita. Masalahnya kita kena check iman kita.
Oleh kerana itu, kita lihat di dalam lipatan sejarah mereka Para Sahabat. Walaupun mereka itu Khalifah, Amirul Mukminin tetapi ketika mana dinasihati dan ditegur, diterima. Bayangkan pangkatnya itu Amirul Mukminin, pemimpin kepada kaum mukminin, punya besarnya pangkat dan kuasanya.
Saidina Umar al-Khattab r.a. tatkala ditegur oleh seorang perempuan ketika mana dia cuba untuk menetapkan akan mahar. Dia melihat antara perkara yang berlaku di zamannya adalah mahar itu menjadi beban kepada orang lelaki yang nak mengahwini kepada orang perempuan.
Maka diantara usahanya sebagai seorang ketua kerana mempermudahkan akan perkahwinan itu, akan menyelamatkan daripada berlakunya zina dan perbuatan keji. Oleh kerana itu, Saidina Umar Al-Khattab r.a. sebagai Amirul Mukminin, dia cuba untuk mempermudahkan dengan mengatakan, "Saya ingin untuk menetapkan akan mahar bagi seseorang perempuan yang dinikahi." Pada zaman pemerintahannya.
Dalam keadaan dia kumpulkan dan berikan pendapatnya, tiba-tiba bangun seorang perempuan tua mengatakan "Wahai Amirul Mukminin. Bukankah di dalam al-Quran Allah s.w.t. mengatakan mahar itu adalah haknya orang perempuan dan hanya orang perempuan yang berhak untuk menentukan berapa yang dia patut dapat sepertimana firman Allah s.w.t. Dibacakan firman Allah s.w.t.
Ketika akan mendengar seperti itu, apa Saidina Umar Al--Khattab r.a. kata? Kalaulah kita di zaman ini pasti kita akan mengatakan "Saya dimalukan". Kita akan cuba menegakkan benang yang basah. Kita akan pasti merasa murka dan marah kerana kita merupakan ketua pada waktu itu.
Akan tetapi Saidina Umar Al-Khattab r.a. mengatakan. "Benar. Telah benar perempuan tua ini, telah salah Umar." Allah!! Hebat. Kenapa? Kerana iman. Kerana dia merasa menerima daripada nasihat, peringatan dan nenerima kebenaran. Inilah orang-orang yang mempunyai iman.
Akan tetapi, orang yang tidak mahu menerima kebenaran namanya adalah takabbur atau sombong. Itulah hakikat kesombongan, Kata Baginda Rasulullah s.a.w. "Adalah apabila orang itu disampaikan kebenaran kepadanya, dia menolak dan tidak mahu menerima. Inilah takabbur yang hakiki iaitu takabbur yang sebenar-benarnya." kata Nabi s.a.w.
~ Habib Najmuddin bin Othman Al-Khered Hafidzohullah.