Berbicara tentang manusia...
Walaupun kita ini sendiri manusia, belum tentu kita mampu memahami manusia dengan begitu baik dan tuntas. Sering kali juga kita gagal memanusiakan sikap kita terhadap manusia.
Manusia adalah makhluk yang begitu unik. Ia ada perasaan dan akal. Ada aspek spiritual yang perlu dibelai dengan kualiti iman dan Islam, selain fizikal yang menjadi amanah untuk dijaga sebaiknya. Sebab itulah kadangkala kita gagal memahami manusia lain. Terlalu banyak aspek yang bergabung membentuk manusia.
Nampak sahaja pelbagai tingkah laku manusia, pantas mulut membuahkan pendapat. Pelbagai komen meluncur laju sehingga kadangkala mengguris hati dan perasaan. Dan kita mampu berlalu pergi begitu sahaja tanpa toleh dan boleh pula tersenyum puas.
Sedangkan kita terlupa, manusia ini seringkali terlepas kendali. Kita sendiri pun pernah berkali-kali. Bahkan sering sekali. Ada individu yang mempunyai tahap toleransi yang rendah terhadap tekanan yang dihadapi, lantas berubah tingkah.
Sikap kita? Bukan ingin menunding perbuatan yang salah, cuma ingin memandu tingkah supaya mereka mampu pantas bingkas. Ini sepatutnya.
Hakikatnya kita sedar betapa tidak mudah menjadi manusia. Mujahadah masih panjang, sedangkan masa makin suntuk. Amalan masih perlu diganda sebagai bekal, sedangkan pada masa yang sama dosa tidak pernah lekang daripada bekal tersebut. Bahkan sering juga dunia menang berkali-kali, sedangkan akhirat tergadai....
Ketika melihat ada manusia lain terlepas kendali, ia sepatutnya membawabukan sahaja dia, bahkan kita juga untuk lebih berpaut erat dengan tali Allah. "Sesungguhnya orang yang berkata, "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka tetapkan pendirian, maka tidaklah mereka takut dan tidak akan berdukacita." ( Surah al-Ahqaf 46:13 )
Ketika itu, tiada takut atau dukacita yang mampu menyebabkan kita murung kerana kita tahu kita mahu terlepas kendali. Bahkan kita juga bijak dengan tidak menilai atau mencemuh individu lain yang kemurungan, bahkan sudi pula menjadi bahu tempat bersandar dan meminjam telinga menjadi pendengar yang membina kembali kekuatan jiwanya....