Apa yang sebenarnya yang kita cari dalam hidup ini? Kemewahan? Kekayaan? Nama atau Popular? Jika semua itu yang dicari, banyak yang perlu difikirkan semula. Berapa ramai selebriti yang memiliki kekayaan, kemewahan, nama dan popular namun akhirnya membuat pilihan mengakhiri hidup dengan bunuh diri. Beberapa tahun kebelakangan ini ramai selebriti terkenal barat mengambil keputusan menamatkan riwayatnya dengan membunuh diri. Sekadar menyebut beberapa contohnya, Chester Bennington [penyanyi utama kumpulan Linkin Park], Lex MacAllister [pelakon], Kurt Cobain [penyanyi Nirvana] Robin Wlilliams [pelakon] dan ramai lagi.
Begitu juga dengan negara Jepun yang serba maju, mempunyai tahap disiplin yang tinggi dan penuh dengan pekerti murni. Hinggakan ramai pemikir hebat di Malaysia mengungkapkan kata-kata, "Jika mahu mencari Islam carilah di Jepun?" Namun disebalik semua itu kes bunuh dirinya juga tinggi.
Apa kurangnya dengan Korea Selatan, di mana ramai selebritinya memilih membunuh diri sebagai jalan penyelesaian kepada tekanan kehidupan. Kebanyakannya kisah yang disebut itu adalah manusia terkenal, kaya dan memiliki segala-galanya.
Cuma satu yang mungkin mereka tidak miliki rasa cinta, redha dan kebergantungan hidup kepada Allah. Kunci kepada segala-galanya dalam kehidupan ini adalah Allah. Terungkap dalam hadis Rasulullah s.a.w., "Perbuatan yang paling afdal ialah cinta pada Allah dan benci kerana Alla."
Ungkapan yang diluahkan oleh Steve Jobs, pengasas Apple Inc, amat mendalam maknanya. Dipetik luahannya, kekayaan yang dimiliki tidak akan kita bawa bersama saat mati. Rasa cinta, kasih dan sayang itulah kekayaan sebenar yang akan mengirngi sepanjang jalan kehidupan, memberi kekuatan, menerangi dan menceriakan hari-hari akhir.
Anda boleh mengupah orang lain menjadi pemandu untuk membawa ke mana saja arah hendak dituju. Anda juga boleh menggaji dan mengarahkan orang lain membawa keuntungan dan menghasilkan wang yang banyak. Tapi anda tidak boleh mengupah orang lain mengalihkan rasa kesakitan yang dialami.
Seluruh harta benda dan kemewahan yang hilang boleh dikumpulkan semula. Hidup.....apabila ia hilang tidak ada siapa yang mampu mengumpulkannya semula. Saatnya apabila diri melangkah masuk ke bilik pembedahan, bermakna sebuah buku 'kehidupan' sudah habis 'dibaca'- buku yang bernama Kehidupan Sihat. Itulah saatnya, tirai dilabuhkan dan berakhirnya.....
Kejarlah apa saja impian yang hendak dicapai, himpunlah segala kejayaan walau setinggi mana pun, semua itu terletak di tangan dan hati setiap orang. Sayangi keluarga, sayangi pasangan dan sayangi sahabat-sahabat. Jagalah dan sayangi diri sebaik mungkin. Dan jangan lupa untuk menggembirakan orang lain.
Itulah sebahagian ungkapan kata-kata dari Steve Jobs, walaupun dia bukan seorang Islam namun luahan hatinya boleh memotivasikan. Pada akhir hayatnya dia menyedari bahawa kekayaan yang dimiliki tidak bererti ketika berdepan dengan kesakitan yang tidak ada penawarnya hanya menanti saat kematian. Segala kekayaan yang diimiliki tidak mampu langsung untuk mengalihkan kesakitan yang dialami walaupun sedikit.
Namun Allah berikan cara yang terbaik untuk orang Islam melalui segala keperitan, kesulitan, kesusahan dan kesengsaraan. Allah yang memberikan kekuatan hati kepada manusia agar mereka menjadi tenang dan tenteram...