Apabila menyebut tentang "membawang" atau "mendaging" kita bukanlah ingin melihat sifat negatif yang ada pada orang lain. Apabila Allah menggunakan gantinama "kamu" pada ayat, "Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?", itu tidak bermakna kita juga perlu melafazkan ganti nama yang sama [kami] apabila menyebut tentang perbuatan membawang.
Sifat" membawang" atau "mendaging" ini perlu dilihat sama ada ia telah meresap ke dalam diri kita sendiri atau pun tidak. Jika sifat ini sudah menular dalam diri, maka hati perlu dibersihkan melalui taubat dan melakukan banyak kebaikan dan ketaatan.
Nabi s.a.w. pernah berpesan:"Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik pelaku kesalahan yang banyak adalah mereka yang banyak bertaubat atas kesalahannya." [Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah]
Sayangi Diri
Sibukkan diri melihat kelemahan dan keburukan sendiri, bukannya sibuk menjaga tepi kain orang.
Rasailah bahawa diri kita ini terdapat kesilapan dan aib yang banyak.
Tingkatkan Empati
Meletakkan diri kita pada tempat orang yang diumpat. Lalu kita tanyakan pada diri sendiri: "Adakah aku redha dengan umpatan orang terhadap diriku?"
Perisai Diam
Bercakap hanya perlu. kadang kala diam itu lebih indah. Nabi s.a.w. pernah berpesan pada kita: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia mengatakan apa-apa yang baik atau sekadar berdiam diri." [Muttafaq'alaih]
Jaga Aib
Menjaga dan menutup aib orang lain dengan tidak menyibukkan diri mengintip aib dan keburukan orang.