Apabila berbicara tentang kematian, timbul rasa gerun dan takut. Kematian tidak mampu kita lari atau elak. Wajib tempuh. Kematian tidak seharusnya dipandang dari satu sudut sahaja, sebaliknya ia perlu dilihat dari pelbagai sudut.
Persediaan menghadapi kematian; ini salah satu dari sudut tersebiut.
Malangnya terdapat segelintir daripada kita yang memandang sinis perkara ini. Kita gagal melihat keperluan melakukan persediaan rapi dalam menghadapi kematian. Jika saat menerima anugerah daripada kerajaan pun kita lakukan persiapan sebaiknya lebih awal, inikan pula saat pulang bertemu Allah.
Ingat Mati.
Bukankah situasi di bawah ini harapan kita?
Harapan pulang tatkala menghadap Allah
Bersih, Putih berseri-seri
Semerbak wangi.
Menandakan bahawa kita telah dirahmati oleh Allah s.w.t. dan dianugerahkan kebahagiaan yang kekal selama-lamanya.
Atau kita akan berteleku dan dipandang hina oleh segenap makhluk saat menghadap Allah s.w.t.? Di sinilah peri pentingnya kita lakukan persiapan untuk menghadap Allah s.w.t.
Kadang-kala, jika seseorang itu keterlaluan apabila berbicara tentang kematian, akan ada yang memandang seolah-olah orang yang membicarakan perkara ini mengharapkan kematian. Bahkan ada yang secara terang-terangan memandang remeh perkara ini.
Betapa sinisnya golongan ini terhadap usaha-usaha untuk menyedarkan betapa pentingnya mengingati kematiaan setiap saat dalam kehidupan kita.
Erti ingat mati: Menambahkan keberkatan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Umur Panjang + Taat Allah
Allah s.w.t berfirman, mafhumnya:
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu) : 'Wahai Tuhan kami, keluarkan kami (daripada azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain daripada apa-apa yang pernah kami kerjakan.'"
Allah menempelak mereka kerana penyesalan mereka sewaktu itu tidak berguna lagi.
"Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk kamu berfikir dan mengambil peringatan bagi sesiapa yang mahu? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul [Kami] yang memberi amaran. Oleh itu rasailah [azab seksa] kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan." [Surah Fatir 35: 37]
Kitab al-Jami' Li Ahkam al-Quran atau lebih dikenali sebagai kitab Tafsir al-Qurtubi mentafsirkan ayat tersebut sebagai:
"Mereka [penghuni neraka] berteriak dengan suara yang kuat dan keras, merintih dan memohon pertolongan. Mereka menuturkan, "Wahai Tuhan, keluarkan kami dari neraka jahanam ini dan kembalikan kami ke alam dunia. Agar kami dapat melakukan amal soleh."
Ibn Abbas pula mentafsirkan:
"Kami memperakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami akan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Daripada kesyirikan terhadap Allah s.w.t., kami akan meninggalkan kekufuran dan diganti dengan keimanan, mengerjakan ketaatan sebagai ganti terhadap kemaksiatan dan kami akan melaksanakan seluruh suruhan para rasul."
Teguran Allah Buat Semua.
Lalu, Allah s.w.t. menjawab permintaan mereka dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Bukankah kami telah melanjutkan umur kamu dan dan memberikan masa yang cukup untuk kamu berfikir dan mengambil peringatan bagi sesiapa yang mahu? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul [Kami] yang memberi amaran." [Surah Fatir 35: 37]
Menerusi ayat ini Allah s.w.t. secara tidak langsung 'menegur' umat manusia bahawa Allah s.w.t. telah memberi peluang dengan cara:
1. Memanjangkan umur.
2. Memberi peluang kepada umatnya untuk berfikir dan beringat-ingat akan kematian.
3. Mengutus para rasul.
Maka di sinilah perlunya untuk kita sama-sama saling ingat mati setiap saat. Peluang umur yang masih bersisa ini seharusnya digunakan sebaik-baiknya.
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling baik?
Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang panjang umur dan baik amalan."
Lelaki tersebut bertanya lagi: "Siapakah pula orang yang paling buruk?"
Baginda s.a.w. menjawab: "Orang yang panjang umur dan buruk amalan." [Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi]
Dalam hadis yang lain, al-Hakim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik dalam kalangan kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya." [Riwayat al-Hakim]
Umur Panjang = Bonus
Seharusnya kita memandang bahawa umur yang panjang itu merupakan suatu bonus dan keuntungan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Keuntungan bagi meneruskan amal ketaatan dan menambahkan amal kebajikan.
Setiap hari, pasti ada kematian yang berlaku di persekitaran kita. Tetapi kita tidak mengambil ibrah serta pengajaran daripada kematian tersebut.
Kematian yang membawa maksud tiada lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t. Kematian yang membawa maksud terputuslah segala hubungan dengan keduniaan.
Persoalan Kehidupan
1. Berapa ramai dalam kalangan kita yang meninggal dunia sebelum mencapai usia baligh?
2. Berapa ramai pula dalam kalangan kita yang meninggal dunia sebelum sempat menjejak kaki ke universiti?
3. Berapa ramai dalam kalangan kita yang telah meninggal dunia sebelum sempat berumah tangga dan menimang cahaya mata?
4. Berapa ramai pula dalam kalangan kita yang menutup mata sebelum sempat mencapai kebahagiaan dalam kehidupan yang diharapkan?
~ Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani