Cuba kita lihat daun-daun kering yang berguguran, melayang-layang tanpa kemudi dipupuk angin petang. Tidakkah kita terfikirkan sesuatu?
Daun kering itu asalnya dari sebutir biji benih. Lalu berpucuk tunas, muda, lemah dan mudah patah. Kemudian ia semakin melebar, semakin hijau warnanya dan menjadi dewasa dan kuat.
Hari silih berganti, daun yang hijau tampak kekuningan. Selepas itu bertukar menjadi coklat. Layu dan kekeringan. Akhirnya gugur ditiup angin. Begitulah hayat sehelai daun.
Demikianlah gambaran kehidupan jika boleh kita umpamakan. Setiap detik dan ketika kita akan mengalami perubahan demi perubahan, perpindahan demi perpindahan yang telah ditetapkan dalam takdir-Nya. Namun, daun kering itu hakikatnya hanyalah daun kering. Ia tiada bererti dengan 'sesuatu' . Tiada pertanyaan baginya, apakah yang telah dilakukan semasa hidup. Tida baginya perkiraan dosa dan pahala, syurga maupun neraka. Sebaliknya manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, terpikul di atas pundaknya satu amanah yang besar. Mengikat janji mengakui bahawa Dia adalah Tuan dan kami adalah hamba.
Allah SWT berfirman:
" Dan [ ingatlah wahai Muhammad ] ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam [ turun temurun ] dari [ tulang ] belakang mereka, dan Ia dijadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, [ sambil Ia bertanya dengan firmanNya ], " Bukankah aku ini Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: " Benar [ Engkaulah Tuhan kami ], kami menjadi saksi ". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai [ tidak diberi peringatan ] tentang [ hakikat tauhid ] ini ". [al - A'raf: 172 ].
Demikianlah ikatan janji yang menjadi amanah besar atas setiap manusia yang mukalaf. Tida siapa dapat melepaskan ikatan ini melainkan kerugian dan penyesalan yang tiada kesudahan. Oleh itu pastikan ia sentiasa digenggam seeratnya.
" Bukankah aku ini Tuhan kamu? "
" Benar [Engkaulah Tuhan kami ], kami menjadi saksi "
Allahu rabbi.....
~ sumber: Kembara Mencari Hamba ~