Memang sukar menyelami hakikat dosa, kerana ia bukanlah sesuatu kefahaman yang boleh dilihat dengan mata ataupun difikir dengan akal semata. Ia perlu dirasa dengan hati dan jiwa melalui ilmu dan iman. Bila ia telah dirasa dengan hati dan jiwa barulah ada kemampuan dan kekuatan untuk meninggalkannya.
Tentu sahaja saya bukan orang yang paling layak untuk membicarakan soal dosa, siapalah saya?
Malu membicarakannya kerana sayalah orang yang paling banyak melakukan dosa.
Namun saya menyakini sebagai manusia kita perlulah ingat-mengingati, berpesan-pesan dalam perkara taqwa dan kebaikan.
Bukankah umat islam ini saling lengkap melengkapi seperti susunan batu-bata yang kukuh. Ya, saya memahatnya di sudut kehidupan saya.
Masih saya ingat tutur lembut seorang murabbi ketika bergulat di medan menutut ilmu dahulu. Pesanan yang masih terpahat kukuh di dasar hati:
"Kita seumpama tangan kotor yang hendak dibersihkan. Tidak mungkin kita boleh membersihkannya sendirian. Tangan kanan harus digosok bersama tangan kiri, dengan air yang bersih. Barulah kotoran akan tanggal dan tangan akan menjadi bersih."
Lenyapkanlah dosa-dosa, masukkanlah kecintaan Allah ke dalam hati sanubari, agar hilang resah dan gelisah. Sesungguhnya dosa yang meresahkan, namun taubat yang mendamaikan....
Mari taubat bersama saya...
~ sumber abuikhwan~