Sunday, 11 June 2017

DUNIA TEMPAT BERPENAT LELAH




ADAT HIDUP DI DUNIA.

Setriap hari kita memandu di jalan raya. Kadang-kala mendapati sejak kita memulakan perjalanan, kita berhadapan dengan sebuah lori yang mengganggu pemanduan kita. Lantas, bila ada saja peluang, kita memecut memotong lori itu.

Terasa leganya, boleh kembali fokus memandu.

Sayangnya, lega itu tidak lama. Dua tiga minit selepas itu, kita bertemu pula dengan lori yang lain. Sekali lagi, kita mencari peluang memotong lori tersebut. Begitulah rutinnya sehingga kita berjaya sampai ke destinasi yang dituju.

Malah, kadang-kadang bukan sebuah lori yang kita temui dalam satu masa. Begitulah kehidupan di dunia ini. Sejak mula kita lahir sampai mati, kita tidak akan terlepas daripada ujian.
Firman Allah swt dalam Surah al-Mulk, maksudnya; "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dalam hidup, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya." [Surah al-Mulk 67:2]

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan sememangnya Allah menciptakan hambaNya di dunia ini untuk diuji. Diuji, untuk Allah melihat siapakah yang lebih baik amalannya.
Ya, siapa yang lebih baik amalannya!
Tiada manusia yang terlepas daripada ujian di dunia. Cumanya, setiap orang ujiannya berbeza mengikut kemampuan masing-masing.





DUNIA INI TEMPAT BERPENAT LELAH.

Ketika peristiwa iblis enggan mengikut perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam, Allah memberi peringatan kepada nabi Adam dan Hawa bahawa Iblis itu musuh buat mereka.

"Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua  keluar daripada syurga, kerana dengan yang demikian engkau [dan isterimu] akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas matahari." [Surah Taha 20:117-119]  

Di sini, Allah telah menjelaskan kepada Nabi Adam, bagaimana sifat Syurga yang sepenuhnya berbeza dengan dunia.

Syurga itu tempatnya dikelilingi dengan berbagai nikmat. Yang mana, ahli Syurga tidak akan merasa lapar dan dahaga di dalamnya. Tidak akan bertelanjang di dalamnya, dan tidak akan merasa panasnya
terik matahari.

Senuanya nikmat!

Berbeza benar dengan dunia, kita merasa penat dengan kehidupan di dunia yang menuntut kita bekerja keras memenuhi keperluan hidup daripada dua sudut iaitu fizikal dan rohani.

Materialnya seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Ruh pula menuntut kita memberikan santapan rohani seperti membaca al-Quran dan sebagainya. Malah, kita terpaksa memenuhi keperluan hidup ini buat keluarga kita. Semuanya memerlukan tenaga dan masa.

Beginilah sunnah kehidupan kita di dunia. Dunia ini tempat kita berpenat lelah. Tempat rehat kita, hanyalah di Syurga yang abadi.





SEMUANYA BAIK DI SISI ORANG BERIMAN

Rasulullah saw bersabda, "Sungguh ajaib urusan seorang Mukmin, semua urusan baik bagi dirinya. Tidaklah kita dapati perkara ini melainkan hanya orang beriman. Apabila dia mendapat kesenangan, dia bersyukur. Maka yang demikian itu baik buat dirinya. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka yang demikian itu baik buat dirinya." [Riwayat Muslim]

Begini cara kita diajar menghadapi ujian dan nikmat di dunia. Bersyukur saat mendapat kesenangan, dan bersabar saat diuji.

Semoga kita juga mengikut jejak langkah orang beriman....

~sumber majalah solusi.


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...