Thursday, 8 June 2017

ANTARA DUA NILAI




Kita selalu dinasihati supaya bersabar, tetapi jarang ditekankan tentang keperluan
menepati waktu. Jika sabar itu nilai murni. Bukankan menepati masa juga
satu nilai murni?


MENDIDIK

 Di sekolah, melihat pendidik menyelesaikan isu apabila dua nilai murni bercanggah. Antara sabar dan menepati masa. Antara sifat berkorban dan keprihatinan sesama insan.

Dalam kes pertama, nilai sabar pada mereka yang menunggu, dan nilai menepati masa pada mereka yang sudah berjanji. Tidak wujud tolak ansur dalam dua nilai murni. Ia sama-sama penting, ia sama-sama diangkat dan diiktiraf. Ia harus dihormati samada pihak yang bersabar ataupun pihak berjanji yang harus menepati masa.


Dalam kehidupan, nilai murni sering bercanggah dan ia bergantung dari sudut mana kita melihatnya. Tanpa sedar ramai antara kita memilih nilai yang memberi manfaat jangka pendek, tanpa ada usaha mendidik. Kita lebih rela berkorban daripada ingat mengingati sesama insan.

Contohnya ramai mak ayah berdiam diri jika anak-anak buat perangai. Ya, berdiam lebih mulia dan nampak cool, berbanding kepayahan mendisplinkan anak-anak. Mendidik anak-anak bukan satu kerja mudah, ia jerih dan berterusan.

Ramai ibu melakukan kerja rumah sendirian berbanding meminta anak-anak membantu, kerana keletihan menyuruh itu jauh lebih memenatkan daripada melakukannya sendiri. Sudahnya, bila masuk usia dewasa, anak-anak kita masih dilayan seperti raja atas alasan tidak mahu bising.

Ramai isteri menjadi kuli di rumah, juga atas alasan yang sama. Mahu dilihat sabar dan reda dengan tanggungjawab yang dipikul. Dalam masa yang sama si isteri dan si ibu mendidik seisi rumah menjadi pemalas dan lupa tanggungjawab asas.

Ramai guru di sekolah tidak mahu memanjangkan isu pergaduhan anak-anak sekolah atas alasan remeh. Kita mungkin tidak sedar, pergaduhan itu mungkin melibatkan maruah pelajar yang dihina atau dibuli emosi. Ia akan bawa kesan berpanjangan ke atas individu, dan membenihkan sikap dendam.


TUGAS BERSAMA

Tugas insan ialah saling ingat mengingati supaya masyarakat kita lebih harmoni. Individu bertanggungjawab mampu membentuk budaya prihatin sesama kita.
Tidak perlu bersabar pada perkara tidak bermanfaat. Kita mungkin menyemai sikap sambil lewa pada sesetengah orang yang suka ambil kesempatan.

Sesuatu nilai murni yang kita sanjung harus diangkat sama tinggi dengan nilai-nilai lain.
Sabar itu sama penting dengan nilai menepati waktu. Sifat mendidik itu sama tinggi nilainya dengan sifat sabar, berkorban dan reda.

Nilai murni harus sokong menyokong supaya sifat baik sesama manusia terus berkekalan. Jika kita bersabar, orang lain berusaha menepati waktu. Jika kita rela berkorban, orang lain tidak ambil kesempatan atas kebaikan kita. Sebarkan nilai-nilai seimbang dalam masyarakat.






Kita sanjung nilai sabar, tetapi membunuh niali murni iaitu 
menepati waktu. Sebenarnya kita telah menganiaya
orang lain tanpa sedar.


" Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian....."


~sumber~

Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...