Saturday, 23 December 2017

BICARA SAHABAT


Kita masih sering lupa, bahawa kita sering tanpa sedar memohon Tuhan atas takdir kita dengan doa-doa penuh harap yang kita panjatkan.

Kita masih sering lupa, bahawa kita sering mengeluh pada Tuhan kerana sendirinya kita yang belum juga dipertemukan.

Dan kita masih sering lupa, bahawa sesungguhnya Tuhan menciptakan jarak antara kita bukan kerana apa-apa. Tetapi kerana Dia ingin agar kita saling menjaga. Dia ingin agar kelak ketika kita berjumpa, kita bertemu dengan cara-cara yang baik dengan cara-cara yang diredhai-Nya.






Kamu sendiri tahu dan sedar betulkan? Bahawa yang berjarak itu sering kali membuat sesuatu menjadi lebih indah.

Seperti pemandangan kota pada malam hari yang dilihat dari atas gedung pencakar langit, temaram lampu-lampu di jalanan berkelip-kelip bagai bintang-bintang dilangit malam.

Seperti deretan panjang pegunungan, terlihat kukuh, megah dan indah ketika dilihat dari kejauhan.

Lalu tentang pertemuanmu dengannya kemarin yang tak disengaja, kenapa kamu begitu ingin mendekat? Padahal ketika pada masanya nanti gedung pencakar langit itu kamu miliki, kamu bisa menikmati pemandangan kota sepuasnya pada malam hari. Padahal ketika pada masanya nanti gunung-gunung tinggi itu kamu tinggali, kamu bisa menikmati matahari terbit dan terbenam sesuka hati.

Saat ini bukan milik siapa-siapa dan semua orang bebas datang dan pergi sesuka mereka. Tapi jika nanti Tuhan menakdirkannya untuk kamu miliki, kamu punya hak atasnya seorang diri.

Maka mulai hari ini cubalah berjarak, agar ketika kamu memilikinya nanti, segalanya terasa lebih indah. Pada saatnya nanti, kamu punya hak atas segala keindahan yang telah Tuhan anugerahkan atasnya.


~ catatan sederhana.


Thursday, 21 December 2017

ORANG SIBUK TAK AKAN MENYIBUK

                                      

Kebiasaanya, seorang wanita akan mengambil masa yang lama untuk berhias terutamanya melibatkan wajah. Sudah tentu jika ada parut dan kesan yang jelek pasti akan diusahakan untuk ditutup. Bukan hanya di muka, bahkan jika ada mana-mana parut di bahagian yang paling tertutup dari pandangan manusia sekalipun pasti dirisaukannya.

Analogi ini bukanlah berniat memerli wanita, namun itulah hakikat kita semua sebenarnya. Pada zaman moden ini, istilah 'mulut murai' tidak lagi dipegang oleh wanita, bahkan kaum Adam  juga menjuarainya. Sebagaimana menutup parut di muka, begitulah aib kita lebih berhak untuk ditutup daripada sibuk membuka aib orang lain.


Sesuatu yang kita sentiasa lupa, diri kita penuh dengan kekurangan, aib, cacat dan cela. Orang yang sibuk tak akan sama sekali sempat untuk menyibuk. Sibukkan diri untuk memeriksa dan menghitung aib sendiri. Pasti kesibukan itu sudah cukup menghabiskan waktu tanpa sempat memikirkan dan mencari aib orang lain.

Ancaman daripada Nabi s.a.w. amat menakutkan dan membimbangkan: "Wahai orang yang beriman dengan lisannya, meskipun iman belum masuk ke dalam hatinya. Janganlah kamu melakukan ghibah [mengumpat] sesama kaum Muslimin dan jangan mencari-cari [mengintai aurat atau aib] mereka.

Sesungguhnya orang yang suka mencari-cari aib kaum Muslimin, Allah akan mencari aibnya. Sesiapa yang dicari-cari auratnya oleh Allah, nescaya Allah akan membongkarnya meskipun di dalam rumahnya sendiri. [walaupun ia tersembunyi daripada manusia] ." (Riwayat Abu Dawud)

Begitu juga Rasulullah berpesan: "Berbahagialah orang yang disibukkan dengan aibnya sendiri, sehingga langsung tidak sempat baginya untuk memperhatikan aib orang lain." [Riwayat al-Bazzar]




SIMPAN BAIK-BAIK



Dr. Salman al-Audah dalam bukunya Syukran Ayyuha al-A'ada' [Terima kasih para musuhku] membuat satu perumpamaan yang cukup menarik: "Perhatikan mereka yang memungut sampah. Setiap dari rumah kita akan menghasilkan sampah saban hari. Setiap kali sampah dikutip, kesemuanya akan dimasukkan ke dalam lori khas yang bertutup dan ada pula sistem yang memampatkan sampah lalu disimpan di ruangan khas. 

Tidak ada yang mempamirkan sampah itu mahupun dibiarkan terbuka sehingga bau busuknya menyakitkan sekalian penduduk. Tidak pula sampah dijaja dan dipertontonkan di sekeliling kota kerana ia sesuatu yang menjijikkan.

Jika sampah yang mahu dibuang disorok sedemikian rupa, apatah lagi dosa, kekurangan dan aib manusia? Sudah pasti ia lebih berhak untuk disorokkan, tidak dijaja apatah lagi untuk dipertontonkan di khalayak ramai..."

Analogi ini sangat baik untuk kita tekuni. Allah s.w.t. meletakkan satu perinsip yang tegas mengenai perbuatan menyebarkan keburukan dan keaiban. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." [Surah al-Nur 24:19]

Inilah janji Allah dan ancaman yang keras daripada-Nya. Persoalan menyebarluaskan aib dan keburukan bukanlah sesuatu yang patut dipandang remeh. Ironinya, inilah yang menjadi perbualan hangat dan fokus utama manusia hari ini.  Itulah berita dan cerita paling sensasi yang tanpanya seolah-olah dunia sunyi dan sepi.

Rasulullah s.a.w.  mengajar kita kaedah-kaedah terpenting dalam interaksi dan akhlak sesama manusia: "Sesiapa yang melepaskan daripada seorang Mukmin satu kesusahan daripada mana-mana kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan pada hari kiamat.

Sesiapa yang memudahkan seseorang yang sedang dalam keadaan kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusan dunianya dan juga urusannya nanti di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Demikian Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya menolong sesama saudaranya." [Riwayat Muslim]

Allah menutup keaiban di akhirat dengan cara mengampunkan dosa tanpa ditanya, juga tidak dipertontonkan di khalayak sekalian makhluk. Ganjaran hebat ini bukanlah calang-calang tawaran kerana terbukti ramai yang tidak mampu menjadi calun-calunnya di dunia.



CALUN AHLI SYURGA

Nabi s.a.w. memperkenalkan salah seorang calun syuga daripada kalangan para sahabat bernama Sa'ad bin Abi Waqqas r.a. Beliau kemudiannya memasuki majlis Nabi dalam keadaan basah dek wuduk yang diambilnya.

Hal itu mendatangkan rasa ghibtah [cemburu yang positif] daripada kalangan sahabat lain terutamanya Abdullah bin Amru bin al-As r.a. hingga dia mengekori Sa'ad hingga ke rumahnya. Dia lantas bertanyakan rahsia pencalunannya ke syurga.

Jawab Sa'ad: "Aku tidaklah sehebat manusia lain dalam urusan ibadah mahupun ketaatan. Namun aku sama sekali tidak mempunyai prasangka buruk kepada sesiapa pun termasuk tidak berkata buruk tentang sesiapa pun."

Balas Abdullah: "Sungguh, Inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh mana-mana manusia." [Riwayat Ahmad]

~sumber majalah solusi.




Thursday, 14 December 2017

MENYUSUL KESALAHAN DENGAN KEBAIKAN.


Dosa menggunung. Lalai melaut. Tapi langit ampunan Allah selalu terbentang. Kepayahan membendung dan diri semakin jauh dari rasa takut. Tapi Allah mengabarkan cinta-Nya untuk mereka yang mahu kembali, memeluk ketaatan yang hilang.

Istiqamah begitu tak mudah, kawan. Tapi menyusul salah-salah dengan amalan-amalan baik semoga mengantarkan kita kepada peribadi yang terus berbenah.

"Perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kesalahan-kesalahan." [QS.Huud: 106]

"Takutlah kepada Allah di manapun kamu berada. Dan sertailah keburukan dengan kebaikan maka kebaikan itu akan menghapuskannya. Dan bergaulah dengan manusia dengan akhlak yang baik." [HR Tirmidzi]


CETUSAN HATI



"Aku bukan tak sabar. Hanya tak ingin menanti. Kerana berani memutuskan adalah juga kesabaran.
Kerana terkadang penantian, membuka pintu-pintu syaitan."

Tak perlu menanti atau minta dinanti. Kalau jodoh toh akan tetap dipertemukan bahkan dengan cara yang kadang terlihat sangat mustahil. Pun jika tidak, selalu ada hadiah indah buat hati yang mengedepankan iman di atas rasa.

Kamu mungkin masih tetap berharap dia menanti. Aku juga sama, berharap kalian berjodoh. Kerana aku sangat takjub bagaimana kalian bertemu dan kemudian memutuskan berpisah kerana iman. Tetapi seperti kata pepatah, ada orang memang cukup tertulis di hati tapi bukan dibuku nikah.

Cinta dan kehilangan itu tentang beranjak, melepaskan, bersabar dan melapangkan hati. Kerana di dunia ini banyak hal yang tak bisa dimiliki meski hati sangat ingin.



Tuesday, 12 December 2017

KAWALAN SEBARAN AIB


ADA DUA JENIS AIB

PERTAMA:    

Bersifat khaiqiyyah [fizikal] seperti kecacatan anggota, wajah,  tubuh badan dan penyakit umpamanya yang menyebabkan perasaan malu atau jatuh maruahnya jika diketahui orang. Maka hal ini tidak boleh disebar luaskan atau dibuka pengetahuannya ke khalayak ramai kerana ia umpama aurat yang wajib ditutup daripada dilihat orang.


KEDUA: 

Bersifat khuluqiyyah [perilaku]. 
Hal ini boleh dibahagikan secara umumnya kepada tiga keadaan:

1.  Jika aib tersebut hanya melibatkan dosa peribadi individu tersebut, atau maksiat yang dilakukannya secara senyap serta apa jua perlakuan yang tidak melibatkan mudarat ke atas pihak lain. Maka hal ini perlu disembunyikan dan tidak disebarkan kepada umum. Namun dengan syarat mesti dilakukan amar makruf dan nahi mungkar, serta menasihati pihak terbabit agar meninggalkan maksiat tersebut.


2.    Jika aib atau perbuatan jelek  tersebut dilakukan secara sembunyi, tetapi hal tersebut ada implikasi negatif atau melibatkan kerugian, mudarat atau kesan khianat kepada pihak lain seperti mencuri, korupsi, pecah amanah, rasuah, salah guna dan seumpamanya. Maka perbuatan seperti ini diperbolehkan untuk diselidiki dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan atau kepada pihak yang ingin dinasihati sacara khusus.


3.     Aib yang melibatkan hubungan keluarga dan suami isteri atau anak-anak hendaklah dirujuk kepada pihak yang paling sesuai dan tepat untuk menanganinya. Jangan disebarkan kepada pihak yang tiada berkaitan apatah lagi untuk sebaran umum.

Secara amnya aib adalah sesuatu yang bersifat rahsia dan perlu dijaga. Jika ada manfaat misalnya bertujuan mengambil pengajaran atau memberi peringatan sekalipun, boleh diceritakan aib itu namun perlu diingat bahawasanya hendaklah dirahsiakan individu yang terlibat dangan aib tersebut agar maruahnya tetap terpelihara.


~sumber.     

Monday, 11 December 2017

KASIH BAPA



Suatu ketika Umar al-Khattab dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, "Apakah perihalnya kamu ini?" Perempuan itu menjawab, "Yang aku dukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku." Umar al-Khattab teruja dengan kejadian itu lalu berkata, "Wahai sahabat lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya." Perempuan itu membalas, "Tidak ya Amir al-Mu'minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah  orang tua ini akan mati?"


Sesungguhnya bila kamu berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu. Kasih sayang yang mereka limpahkan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkan balasan, samada ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.






"Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah silaturrahm dengan kerabat." [HR Imam Ahmad]



Nabi s.a.w.bersabda, "Kehinaan bagi  sesiapa yang memiliki kedua ibu bapanya yang tua  salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga." [HR Muslim]


Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w.  maksudnya: "Janganlah kamu membenci bapa-bapa kamu." Sesiapa yang membenci bapanya bererti dia kafir." (HR Muslim)




Wednesday, 6 December 2017

SEPOTONG KEJU PENYEBAB LUPA



Ini berdasarkan kitab di mana pada zaman dahulu, ada seseorang yang bernama Abu Yazid Al-Bustomi yang memang sejak kecil merupakan orang yang suka berbuat kebajikan. Beliau merupakan salah satu ulama sufi yang diakui akan ketinggian ilmu tasawufnya sehingga banyak yang berguru kepadanya.


Sejak kecil berbuat baik dan orang tuanya pun juga selalui menjaga diri untuk tidak makan kecuali dengan yang halal. Sejak dalam kandungan hingga bercerai dari air susu ibunya, beliau tidak pernah berkenalan dengan barang yang syubhat apa lagi yang haram.


Namun ketika menginjak remaja, beliau merasakan dirinya sudah mulai banyak lupanya. Terutama jika mendengarkan sesuatu hal yang mengandungi kebenaran.


Dari situ ia pergilah kepada ibunya untuk menanyakan sesautu.


"Wahai ibu, apakah ibu ingat pernah memakan sesuatu yang haram atau syubhat ketika mengandung atau menyusui aku ?  Kerana jika aku mendengar kebaikan, aku mudah lupa." tanya abu Yazid.


Alhirnya ibunya bercerita terus terang mengenai kejadian yang pernah dialaminya ketika mengandungnya dahulu.


"Anakku, pada suatu hari, ketika sedang mengandung atau menyusuimu aku melihat sepotong keju tergeletak di tempat si fulan. Saat itu aku sedang mengidam dan benar-benar menginginkan keju itu. Lalu aku ambil secuit keju dan kumakan tanpa sepengetahuan pemiliknya, " jelas ibunya.


Mendengar penjelasan ibunya, tanpa fikir panjang lagi, Abu Yazid langsung mengunjungi pemilik keju tersebut dan beliau menceritakan tentang kekhilafan  ibunya saat mengandung dirinya.


Kepada pemilik keju tersebut, Abu Yazid merayu untuk meminta maaf.


"Wahai fulan, dahulu ketika mengandung, ibuku telah memakan secuil kejumu. Sekarang aku mohon agar engkau sudi memaafkannya atau tetapkan harga secuil keju tersebut dan aku akan membayarnya, " kata Abu Yazid.


"Ibumu telah aku maafkan dan apa yang telah dia makan aku halalkan," kata pemilik keju tersebut.


Akhirnya dikemudian hari, Abu Yazid sudah tidak lupa lagi ketika mendengar suatu kebaikan.


~ Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari






KATA-KATA HIKMAH ULAMA




Ketika kita dipuji oleh seseorang,
sementara kita merasa belum layak menerima pujian tersebut, 
maka sebaiknya kita mnegucapkan "Amin"

Tujuannya adalah agar pujian tersebut bisa kita jadikan doa.

~Habib Ali Al-Jifri




Suatu saat ketika ziarah Zanbal dengan beberapa sahabat dan guru mulia Al-Habib Umar bin Hafidz.
Ada salah satu murid bertanya kepada guru mulia.

"Ya Habib apakah ubat agar hati saya bersih dari suudzhon?"

Pertanyaan yang hebat dan butuh jawapan yang hebat pula dan meluas.

Habib-Umar bin Hafidz menatap wajah penanya dengan tersenyum sebagaimana adat beliau, lalu menjawab dengan jawaban yang sangat singkat :

"Jangan engkau percaya (apa yang diucapkan hatimu)"

Sollu 'alan nabiy.





"Bergembiralah pada setiap hari dengan pertambahan umurmu kerana kamu dapat bersolat padanya, dapat membaca al-Quran dan dapat bertasbih kepada Tuhanmu serta dapat beristighfar terhadap dosa-dosa kamu."

Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya bahawa seorang lelaki berkata,

"Wahai Rasulullah s.a.w. , siapakah manusia yang terbaik?"

Baginda menjawab, "Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya."

Dia bertanya lagi, "Lalu siapakah orang yang terburuk?"

Baginda menjawab, "Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya."

[HR Ahmad; Tirmidzi; dan al-Hakim]




Ahli ilmu yang hebat bukanlah terletak pada pandai berhujah fasih tutur katanya, tapi yang sebenarnya terletak pada adab dan akhlaknya  yang tinggi, sabar dalam dakwahnya, apabila berbicara menambahkan ilmu kita dan menjadi tenang apabila bersamanya.

~ Uwais al-Qarni



Mata adalah panglima hati. Hampir semua perasaan dan perilaku awalnya digerakkan oleh pandangan mata. Oleh itu, hendaknya mata selalu didorong melihat kepada perkara-perkara yang baik. Bila dibiarkan mata memandang yang dicegah dan diharamkan, maka pemiliknya berada di tepi jurang yang merbahaya.

~ Imam Al-Ghazali ~ Ihya 'Ulumuddin



Thursday, 30 November 2017

SALAM MAULID AR-RASUL 1439H / 2017M


"Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Al-Anbiya' :107)


Puji dan syukur ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w., serta kepada keluarga dan para sahabatnya.

Allah s.w.t. dengan kasih sayang-Nya telah mengutuskan kepada manusia seorang Rasul sebagai pembimbing dan penunjuk jalan. Sesungguhnya pengutusan ini adalah sebesar-besar rahmat, yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada terangnya obor cahaya hidayah.

Imam al-Qurthubi menyatakan, yang dimaksudkan dengan al-Alamin ialah seluruh kejadian selain Allah s.w.t.  Ertinya semua makhluk samada manusia, haiwan, tumbuhan semua benda termasuk dunia ini dan seisinya, mendapat rahmat dengan kelahiran Rasulullah s.a.w.

Justeru, marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w. Moga dengan kehadiran hari yang bersejarah ini akan meningkatkan lagi kecintaan dan kasih sayang kita kepadanya. Begitu juga semoga kita sebagai umatnya sentiasa diberikan kesungguhan untuk mendalami dan menghayati sirahnya, dan seterusnya membuktikan kecintaan kepada Baginda s.a.w. dengan mengamalkan segala sunnahnya di dalam seluruh aspek kehidupan.






Berselawatlah

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab:56)

Semoga kita memperolehi selawat dari Allah s.w.t. , memperolehi syafaat Nabi Muhammad s.a.w., memperolehi limpah rahmat dari Allah s.w.t. Ditulis sepuluh kebajikan, dihapuskan sepuluh kesalahan, diangkat sepuluh darjat, memperolehi kesempurnaan iman dan banyak lagi.

Salam Maulidur Rasul.




Wednesday, 29 November 2017

4 KUNCI MENJAGA HATI



1.    MENJAGA PERUT

- Berpuasa sunat
- Makan makanan yang halal dan menjauhi syubhah.
- Menjaga adab-adab makan dan minum.


2.    MENJAGA MATA

- Guna mata untuk melihat kebesaran Allah.
- Elak melihat yang haram.
- Banyak membanca al-Quran.


3.    MENJAGA KEMALUAN

- Segera berkahwin sekiranya mampu.
- Elak ke tempat maksiat dan tidak melayari laman web yang berunsur lucah.
- Elak pergaulan bebas dengan yang bukan mahram.


4.    MENJAGA LIDAH

- Guna lidah untuk berdakwah.
- Jangan sakiti orang lain dengan lidah.
- Berzikir serta membaca al-Quran.
- Elak mengumpat, menfitnah dan mengeji.
- Menjaga kebesihan mulut, gusi dan gigi.



ISYARAT KEWAFATAN NABI



"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (Surah al- Nasr 110:1-3)

Profil Surah:
- Surah al-Nasr: Pertolongan daripada Allah.
- Mengandungi 3 ayat.
- Surah Madaniyyah [diturunkan selepas hijrah]
- Surah ke 110 dalam al - Quran.


1.    Surah Terakhir Diturunkan.

Diriwayatkan daripada Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah, Ibn Abbas berkata kepadaku, "Wahai Ibn Utbah, adakah engkau tahu surah terakhir yang  ditutunkan dalam al-Quran?"
Aku menjawab, "Ya, aku tahu iaitu 'Iza jaa-a nasrullahi wal fath."
Ibn Abbas berkata, "Benar." [Riwayat al-Nasa'i]


2.    Isyarat Kewafatan Nabi.

Ibn Umar berkata, "Turunnya surah ini, Ina jaa-a nasrullahi wal fath' kepada Rasulullah s.a.w. pertengahan hari tasyriq. Baginda sedar bahawa ini isyarat perpisahan. Lalu Baginda berkhutbah dengan khutbah yang masyhur iaitu khutbah wada." [Riwayat al-Baihaqi]


3.    Perintah Memperbanyakkan Tasbih.

Aisyah r.ha. berkata, "Rasulullah s.a.w. pada akhir usianya banyak mengucapkan, 'Subhanallah wa bihamdihi, Astaghfirullah wa atubu ilaihi,'" Beliau berkata, "Sesungguhnya Tuhanku mengatakan kepadaku bahawa aku akan melihat suatu tanda kepada umatku. Dia memerintahkanku agar banyak bertasbih, memuji-Nya, beristghfar dan bertaubat kepada-Nya. Maka aku telah melihat tanda itu, 'Iza jaa-a nasrullahi wal fath...'" [Riwayat Muslim]


Tuesday, 28 November 2017

MASA EMAS




PRODUKTIF KETIKA MUDA

Hakikat umur yang produktif adalah pada saat seseorang ketika usia muda kerana masa muda ibarat medan amal pencapaian segala ilmu yang diperoleh. Pada masa itu, semangatnya membuak-buak, cita-citanya menggunung tinggi, kurang hambatan dari sudut komitmen dan kesihatannya masih baik.

Seorang tabiin perempuan bernama Hafsah binti Sirin berkata, "Wahai sekalian anak muda, ekplorasilah seluruh kemampuan, kemahiran, kecekapan, bakat dan potensi kalian selagi masih muda, sebab saya tidak melihat kemungkinan untuk aktif dan produktif kecuali semasa muda."

Imam al-Nawawi pula berkata: "Semestinya seorang pelajar berusaha menghimpun pelbagai ilmu ketika masih muda. Ketika masih bertenaga, kemahuan yang tinggi, ketajaman daya fikir, kurang sibuk serta sebelum didatangi masa tua yang cenderung untuk berehat atau tidak bekerja."


SAMPAIKAN TIDAK PERASAN DITIKAM

Sayidina Umar sedang solat bersama jemaah di Masjid Nabawi. Beliau yang menjadi imam. Ketika sedang solat, lelaki Majusi; Abu Lu'lu'ah menikam Umar dengan pisau berkali-kali. Untuk melepaskan diri, dia juga turut menikam 13 orang lagi sahabat yang solat bersama.

Mereka cedera, namun solat masih diteruskan. "Tiada bunyi bising yang ketara. Sahabat yang melihat segera mengucap, Subhanallah ! Subhanallah ! Subhanallah !" Setelah mendengar tasbih di belakang, barulah Sayidina Umar tersedar bahawa beliau sudah ditikam!

Beliau kemudiannya menarik tangan Abdurrahman bin Auf, isyarat supaya menggantikannya menjadi imam. Jemaah yang berada di belakang tidak tahu apa yang berlaku. Masing-masing meneruskan solat sehinggalah selesai.

Setelah pulang, Sayidina Umar baru sedar bahawa dirinya parah. malah ia membawa maut!



KEBAIKAN TERBENTUK DENGAN WAKTU

Imam Ibn al-Qayyim berkata: "Tingkatan berfikir paling tinggi, paling agung serta paling bermanfaat adalah berfikir untuk Allah dan hari akhirat. Berfikir untuk Allah macam-macam.....Hal yang kelima: berfikir tentang tugas dan kewajipan waktu serta menghimpun seluruh azam untuk memaksimumkannya. Orang yang arif akan menjadi putera waktunya. Jika dia mensia-siakan waktu, seluruh kebaikan akan lenyap daripadanya." (Al-Jawab al-Kafi li man Sa'ala'an al-Jawabi al-Syafi'i)

Imam al-Syafi'i juga pernah berkata: "Aku pernah bersahabat dengan kaum sufi. Aku tidak memetik manfaat daripada mereka kecuali dua ungkapan bijak. Pertama: 'Waktu ialah pedang, jika engkau tidak mematahkannya, ia akan memenggalmu.'

Kedua: 'Dan nafsumu, jika engkau tidak membuatnya sibuk dengan kebenaran, ia akan menyibukkanmu dengan kebatilan.'"

Waktu yang dimiliki manusia, hakikatnya ialah umurnya. Sesiapa memanfaatkan masanya banyak bersama Allah, maka itulah hakikat hidup dan umurnya. Maka bagaimana pula jika umur seseorang banyak diperuntukkan untuk tidur, bermalas-malasan, membuka aib orang atau mengangkat-angkat kebaikan diri? Tepuk dada, tanya hati...


Monday, 27 November 2017

FENOMENA MANGGA CINTA




JAMBATAN CINTA

Di Paris terdapat sebuah jambatan yang dipenuhi dengan kunci mangga yang penuh dengan tulisan dan ayat-ayat cinta dari pasangan kekasih yang sedang hot bercinta. Fenomena 'mangga cinta' ini mula terbit sekitar tahun 2000. Sebab musabab kenapa fenomena ini mula terbit  tidaklah diketahui. Namun begitu, menurut penduduk bandar jiran paris iaitu Rome, fenomena ini mungkin berasal daripada mangga cinta yang dipasang pada sebuah jambatan bernama Ponte Milvio. Mangga ini bukan dipasang pada jambatan ini pada realitinya, tetapi ianya dipasang dalam sebuah novel cinta yang diberi nama "Three Meters Above The Sky" daripada penulis Itali yang bernama Federico Moccia.





















































Sunday, 26 November 2017

CELOTEH


TIP IBU BAPA.

Seorang ibu anak satu teruja saat dimasukkan ke dalam satu group Whatsapp ibu bapa. Dalam group tersebut, ramai ibu bapa yang berkongsi input berkenaaan dengan tip keibubapaan. Boleh dikatakan rata-rata mereka lebih senior kerana mempunyai lebih seorang anak. Ada juga yang anaknya sudah besar-besar. Sudah bersekolah rendah dan menengah.

Kadangkala ada juga yang berkongsi tentang seminar keibubapaan, termasuk juga pendidikan bentuk bermain sambil belajar yang kelihatan begitu praktikal. Semua ini membuatkan ibu muda tadi semakin teruja. 

Bersungguh dia mengajak agar suaminya menyertai seminar yang dijalankan sana sini. Bersungguh juga dia menyediakan bahan bantu mengajar untuk anaknya yang seorang itu. Hari demi hari, ibu tadi rajin mengulang baca input dari group tadi.

Namun hari demi hari, anaknya semakin menjauhinya. Lebih rapat dan manja dengan si ayah lagi. Nasihat dan kata-kata si ibu tidak diendahkan si anak. Entah di mana silapnya. 

Suatu hari, sedang ibu leka menatal [scroll] telefon bimbitnya, si anak sekitar umur 2 tahun menghampiri. Dengan pelatnya, si anak berkata: "Ibu, letaklah telefon tu. Main dengan adik."


PENGAJARAN.

Kita tidak perlu ilmu yang banyak. Sebaliknya, terus kepada praktikal dengan ilmu yang sudah ada. Dan kadangkala ilmu yang kita cari di tempat yang jauh, rupa-rupanya ada di depan mata.







TIGA PERMINTAAN.


Hari itu seperti biasa Bella ke sawah. Sedang dia sibuk bekerja, tiba -tiba dia ternampak seekor ikan berenang di dalam paya sawah. Dia cepat-cepat menangkap ikan tersebut. Untung-untung boleh digoreng dan boleh dijadikan santapan tengah hari. Alangkah terkejutnya Bella,  apabila ikan  tersebut boleh bercakap.

"Lepaskan aku. Aku janji akan tunaikan tiga permintaanmu. Namun setiap satu permintaan, suamimu turut akan mendapat yang sama dengan 10 kali ganda."

Bella bersetuju.

"Pertama, aku mahukan harta sebanyak harta Qarun."

Ikan tadi mengingatkan lagi sebelum bersetuju, "Baik, tetapi suamimu akan memperoleh harta 10 kali ganda lebih banyak daripadamu."

"Tak mengapa, aku terima,"

"Kedua?"

"Kedua, aku mahu wajah yang cantik setara dengan ratu cantik dunia."

"Baik, tetapi ingat, suamimu akan menjadi 10 kali ganda lebih tampan daripadamu."

Bella mengangguk sahaja sambil bibirnya menguntum senyuman. Senyuman yang bukan biasa-biasa.

"Baik, yang ketiga?"

"Dan yang ketiga, aku mahu dikenakan sakit jantung yang terkawal."


PENGAJARAN.

Ada sebabnya, kenikmatan dunia diselang-selikan dengan ujian hidup. Ramai manusia menjadi tamak, lupa pasangan dan keluarga ketika diuji dengan kesenangan. Apatah lagi lupa kepada Pemberi nikmat sebenar.


DIAM...



Aku ingin sekali mengaku bahawa mendambamu aku masih.
Aku ingin sekali berkata bahawa bersamamu aku mau.
Aku ingin sekali jujur bahawa rasa itu benar ada untukmu.

Aku begitu ingin untuk mengatakannya.
Begitu ingin untuk mengungkapkannya.
Namun aku lebih dari sekadar mengerti.
Diam adalah terbaik untuk saat ini.

Di tengah segala ramainya sekitar, diam memang seharusnya.
Di tengah gegap gempita rencana bahagia, diam adalah kewajipan.
Di tengah doa yang hendak menggema, diam laksana mutiara.

Tak ada lagi hal lain yang kutahu dapat kulakukan.
Selain turut tersenyum untuk segala pilihanmu....

~hujanmimpi.

WAHAI HATI.....




Wahai hati, dengarlah

Sebesar apa kita berharap, maka kita harus bersiap-siap untuk kecewa dengan hal yang lebih besar patah hati sebelum waktunya misalnya. namun bila kau gantungkan harap padaNya maka ketenangan yang akan kau dapat.

Perihal harap tak pernah salah. Harapan semu kita lah yang membuat kekecewaan semakin pedih saja. Akan ada masanya kita akan memahami, bahawasanya cinta tak melulu diertikan dengan bahagia sahaja. Cinta pula, kita ertikan sebagai perjuangan dan penuh peluh. Layaknya semut Ibrahim yang membela kebenaran. Meski terjal namun ia tetap menempuhnya.

Wahai hati, dengarlah

Belajarlah untuk menerima, menerima ketetapan baik ataupun  buruk nantinya. Segala sesuatu yang ada di dunia ini tak bercerita tentang bahagia sahaja, namun bertandang pedih tetap kita akan rasakan jua. Layaknya manisnya iman pernah kita rengkuh secara bersamaan.

Wahai hati, dengarlah

Apa khabar al-Quran kini? Masihkah kita menjadikan al-Quran kini sebagai prioritas ditengah kesibukan kita yang mulai menggurita ini? Atau menjadikan sebagai pajangan semata untuk menutupi kesolehan kita agar nampak baik di depan manusia?

Perihalnya, hanya diri kita yang mengetahuinya. Seberapa penting prioritas al-Quran dalam diri.


Wahai diri, dengarlah

Dengarlah kembali, perihal tangis yang kita tutupi dengan tawa, perihal kecewa yang kita tutupi dengan senyum.

Jujurlah

Melembutlah

Kepada-Nya sahaja.

Tak apa, sesekali sembilu sendiri tak akan menjdikan diri hina. dan memang selayaknya kita bersikap demikian di hadapan-Nya. Kalau kau menangis, menangislah ungkapkan semuanya.

"Dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, wahai Rabbku."

Sesederhana itu harusnya  kita meminta, sesederhana itu seharusnya kita berharap, dan sesederhana itu harusnya kita memahami. Bahawasanya kita hanyalah seorang hamba, yang mana sampai bila pun meminta kebaikan dan kelembutan hati adalah yang utama.

melembutlah wahai diri

melembutlah....

~ self reminder -Ibn Syams




MUTIARA KATA



Doa itu yang menghubungkan kamu dengan pemilik hatimu.




Carilah kawan yang kamu tenang melihatnya.




Jika rasa tengah jatuh, ambil masa kau untuk bangkit semula. Perlahan-lahan
pun tak apa, asalkan kau lebih baik dari hari sebelumnya.



Kau terlampau sayang, terlampau asyik memikirkan dia, sehingga kau
tidak sedar kau banyak lebihkan dia daripada kehidupan
kau sendiri.



Diantara beribu cinta yang bertaburan, cinta terhadap Allah dan rasul adalah
paling utama kerana membawa kepada ketakwaan.



Bersemangatlah dengan senyuman indahmu.


Waktu telah menyenja meninggalkan jejak kita, esok kita akan kembali semula
menyelak cerita lama yang suka dan duka.



Menyimpan cinta dalam diam itu bukan kesalahan. Cuma kau perlu
bersedia bahawa suatu saat nanti kau terpaksa kehilangan dia.


Ya, Allah aku mohon jagakan mulutku, bahasaku daripada mengeluarkan perkataan
yang boleh menyakiti hati orang lain.



Jangan biarkan nafsu mengawal pemikiran dan hati.



Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan.






Kesihatan ini rezeki. Waktu kurang sihat itulah kita banyak  berfikir.
 Perlu muhasabah diri, perbaiki hubungan kita dengan Tuhan serta insan.





Jangan terlalu sibuk mengurus dunia hingga terlupa hidup punya
batas waktu.












Saturday, 25 November 2017

BAGAIMANA JADI BAIK...


Usaha untuk jadi baik ialah perjuangan nafas panjang. Sekali baik, belum tentu baik selamanya. Hawa nafsu dan syaitan akan sentiasa berusaha untuk menggagalkan manusia baik hingga saat sakaratulmaut.


~ SENTIASA BERADA DI TEMPAT YANG BAIK.

Masjid, surau dan tempat yang positif mampu memberi persekitaran yang kondusif untuk menyuburkan iman dan Islam. Ikuti program ibadah, ilmu dan kerja kebajikan yang diatur masjid.


~ CARI KAWAN DAN HUBUNGAN YANG BAIK.

Akrablah dengan seseorang yang akrab dengan Allah. Dia akan mengingatkan apabila kita terlupa, dan membantu untuk kita beringat.


~ SIBUKKAN DIRI DENGAN KEBAIKAN.

Melakukan kebaikan bukan bermakna kita sudah menjadi baik tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik.


~JADIKAN ORANG BAIK SEBAGAI MENTOR

Cari guru yang baik yang dapat mendidik rohani kita menjadi orang yang baik. Jadikan tokoh silam terutamanya dalam kalangan para rasul, sahabat, tabiin dan tabi' tabiin sebagai wira sanjungan. Pelajari kisah dan sejarah mereka.

~ BACA, TONTON DAN DENGAR YANG BAIK-BAIK.

Kata bijak pandai,"Siapa kamu lima tahun akan datang bergantung pada apa yang kamu baca dan dengan siapa kamu bergaul.




Alangkah indahnya dunia ini andai kita hidup bersama Islam. Pada saat orang lain berlumba-lumba berubah menjadi hina kerana dunia, Allah mendidik kita untuk berlumba-lumba memperbaiki diri menjadi mulia.


Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu daripada keduniaan melainkan Allah pasti akan memberikannya sesuatu yang lebih baik di akhirat nanti.






Friday, 24 November 2017

SENANGNYA MEMPEROLEHI PAHALA....



SENANGNYA PEROLEH 300 PAHALA KETIKA BERJALAN....

Berbezanya ucapan Assalamualaikum dengan ucapan good morning, namaste dan yang lain. Apabila anda berjalan dan mengucapkannya kepada orang yang anda berselisih, anda akan memperoleh 10 kebaikan.

Jika anda menyambung dengan 'warahmatullah', anda akan memperoleh 20 kebaikan, dan jika menyambungnya lagi dengan 'wabarakatuh', 300 kebaikan akan dicatatkan dalam buku catatan amalan anda. Subhanallah, mengapa bukan 30?

30 kebaikan dijanjikan dengan salam yang lengkap dan bagi setiap kebaikan, 10 kali gandaan turut dijanjikan. Oleh itu, kira-kiranya begini :
30  kali 10 = 300 kebaikan

Cuba bayangkan, kalau sehari anda memberi salam kepada 10 orang, sama ada anda kenal atau tidak. Dan ucapan salam anda itu lengkap 'assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh', berapakah kebaikan yang anda peroleh?
30 kali 10 = 300 kali 10 = 3000 kebaikan

Itu baru sehari. Jika sebulan, setahun, 10 tahun? Subhanallah ! Tanpa perlu berwuduk  atau syarat lain, mudah-mudah sahaja kita mengaut kebaikan. Itu pun kita tidak mahu?



DALIL

Seorang lelaki datang kepada Nabi dan mengucapkan: "Assalamualaikum"
Nabi menjawabnya dan bersabda: "10 kebaikan"

Kemudian datang orang yang lain kepada Nabi lalu mengucapkan: "Assalamualaikum warahmatullah."
Nabi menjawabnya dan bersabda: " 20 kebaikan."

Kemudian seorang lagi datang kepada Nabi dan mengucapkan: "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Nabi menjawabnya dan bersabda: "30 kebaikan"

[Riwayat Abu Dawud]


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...