Tuesday, 24 October 2017

BICARA-BICARA AKHIR SANG KEKASIH



Detik yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam ialah saat menjelang masuk waktu zohor, hari Isnin. 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Itulah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w.  Anas bin Malik r.a. menceritakan, "Tiada hari yang lebih menggembirakan bagi penduduk Madinah selain daripada hari kedatangan Rasulullah ketika Hijrah. Dan tiada hari yang lebih menyedihkan bagi seluruh penduduk Madinah, lebih menyedihkan daripada hari kewafatan Rasulullah."

Apa yang dituturkan oleh Anas r.a. itu bukan hanya menggambarkan keadaan penduduk Madinah, tetapi ia merupakan kesedihan yang dirasai oleh setiap  umat yang menyayangi dan mencintai Rasulullah. Perasaan sedih mengenangkan peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita lemah.

Alangkah baik jika kita fokus kepada ajaran yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah sepanjang hayat baginda. Apatah lagi terhadap pesanan ketika Baginda berada di hujung hayatnya. Ia pasti mempunyai nilai ilmu yang mendalam dan garapan emosi yang tersangat hebat.

Wasiat akhir Rasulullah s.a.w. dinilai sebagai pelengkap kepada keseluruhan ajaran yang telah diajarkan melalui bicara, perbuatan, sunah dan perjuangan sepanjang hidup baginda. Mari hayati pesanan Rasululllah agar kita mendapat inti pati terbaik daripadanya.



1. PESANAN AGAR MENGUTAMAKAN AKHIRAT BERBANDING DUNIA.

Rasulullah sentiasa mengajak umat baginda agar mengutamakan akhirat beebanding kehidupan dunia. Tarbiyah Rasulullah berpaksi untuk mendidik hati agar tidak terpaut terhadap dunia. Akhirat sentiasa diutamakan. ia bertindak sebagai pemangkin motivasi diri.

Berkata Aisyah r.ha, "Ketika Rasulullah sakit yang membawa kepada kewafatannya, aku mendengar Rasulullah menyebut, "Bersama mereka yang diberikan nikmat daripada Nabi-Nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Itulah sebaik-baik teman." Maka aku tahu bahawa Rasulullah memilih kehidupan akhirat berbanding dunia. [Riwayat al- Baihaqi]


2. PESANAN AGAR BERSIFAT TAWADUK.

Rasulullah terkenal dengan sifat tawaduk. Peribadi baginda dipenuhi sifat rendah diri. Ia menjadikan hati-hati manusia lunak kepada Baginda. Justeru, akhlak ini menjadi pesanan akhir Rasulullah. Baginda berwasiat kepada umatnya agar sentiasa merendah diri  dan bersifat tawaduk. Ibnu Mas'ud r.a berkata, "Saat Rasulullah sakit, kami menziarahi Baginda di rumah Aishah r.ha. Rasulullah s.a.w. berpesan sambil berlinangan air mata, "Janganlah kalian meninggi diri terhadap Allah, kepada hamba-Nya dan bumi-Nya. Sesungguhnya Allah berfirman kepadaku dan kalian, 'Itulah kehidupan akhirat yang kami jadikan bagi mereka yang tidak mennggi diri di dunia dan tidak melakukan kerosakan itulah balasan bagi golongan bertaqwa.'

Dan Allah berfirman lagi, Bukankah neraka jahanam adalah tempat kembali golongan yang membesarkan diri?"" [Riwayat al- Thabarani dalam al-Du'a]



3. PESANAN AGAR BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH.

Rasulullah mendidik umat perkara paling asas dalam soal hubungan makhluk dan khaliq. Insan yang sempurna iman sentiasa percaya dan yakin terhadap Allah. Ini terjelma di dalam hatinya apabila sesuatu dugaan itu berlaku, sejauh mana mereka bersangka baik terhadap Allah. Kerana pentingnya perkara ini, Rasulullah menyebutkan pesanan ini saat akhir hayat Baginda. Dari Jabir bin Abdullah berkata,
"Aku mendengar  Rasulullah bersabda tiga hari sebelum baginda wafat, "Janganlah kalian mati kecuali dengan berbaik sangka terhadap Allah.'"
[Riwayat Muslim]



4. PESANAN AGAR MENJAGA SOLAT DAN MEMBERI HAK ORANG YANG MENJADI TANGGUNGAN.

Rasulullah sentiasa mengajarkan soal keseimbangan antara hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Baginda berwasiat sehingga ke saat terakhir tentang solat yang merupakan hak Allah. Disamping solat, Rasulullah berpesan agar menjaga hak sesama makhluk  terutama bagi golongan yang lemah. Dilaporkan bahawa Anas bin Malik r.a. berkata, "Kesimpulan wasiat terakhir Rasulullah adalah berkenaan solat dan menjaga hak terhadap mereka yang berada di bawah tanggungan."
[Riwayat Ahmad, an-Nasai dan al-Baihaqi]



5. PESANAN AGAR TIDAK MENJADIKAN KUBUR BAGINDA SEBAGAI TEMPAT SEMBAHAN.

Nasihat ini penting agar perasaan cinta terhadap Rasulullah tidak membawa kepada kesyirikan. Rasulullah bersabda: "Laknat Allah ke atas orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kuburan Nabi-Nabi mereka sebagai tempat ibadah" dalam riwayat lain Baginda bersabda: "Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka telah menjadikan kuburan Nabi-Nabi mereka sebagai masjid." [Riwayat al-Bukhari]

Demikianlah beberapa pesanan Rasulullah pada saat -sat terakhir kehidupan baginda. Ianya merupakan nasihat yang bersifat menyeluruh. Ia menjadi pelengkap kepada apa yang telah ditinggalkan di dalam hadis dan sunah Rasulullah. Betapa mendalamnya perasaan cinta Rasulullah kepada umat. Ini dapat dirasai pada setiap patah pesanan Rasulullah tersebut.

Menjadi tanggung jawab bagi kita semua untuk melihat dan menjiwai setiap pesanan tersebut sebagai bukti cinta sebenar terhadap Rasulullah tersebut. Semoga dengannya, kita dapat bersama Rasulullah, dapat minum dari telaganya di hari akhirat kelak bersama para kekasih-kekasih Allah yang lain.


~Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...