Hati disakiti, perasaan dilukai dan jiwa luka lantaran sikap orang lain terhadap kita. Setelah begitu teruk perasaan didera, mampukah kita memaafkan orang tersebut begitu sahaja?
Saya tahu jawapannya adalah sukar malahan adakalanya amat sukar, tetapi siapakah kita untuk terus memendam perasaan benci, marah dan kecewa pada orang lain? Allah sudah bekalkan perasaan belas insan dalam jiwa-jiwa manusia untuk kita hidup berkasih sayang dan bermaafan antara satu sama lain.
Lihatlah betapa kukuhnya jiwa belas insan dan pemaaf dari dalam diri beberapa ibubapa yang anak-anak mereka hangus terbakar dalam tragedi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah lebih sebulan yang lalu. Betapa mulianya hati mereka. Maafkan dan biarkan pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka. Iya ....bukan semua orang mampu menjadi sekuat itu hatinya.
Belajarlah memaafkan semua orang! Inilah pelajaran paling berharga yang saya dapat dari peristiwa dan tragedi menyayat hati. Saya juga selalu teringat kata-kata dan pesanan daripada pakar motivasi, Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, maafkan semua orang setiap hari sebelum tidur. Bimbang tidur kita tidak bangun-bangun lagi selepas itu dan kita pergi dengan hati yang masih menyimpan dendam.
Memaafkan memang tidak semudah menyebutnya, tetapi apabila kita berjaya melaksanakan perkara ini, kesan dari dalam jiwa kita akan dapat kita rasai. Ia kemudian akan terpancar ke wajah. Inilah hikmah lain yang boleh kita peroleh apabila suka memaafkan orang lain, selain jiwa terasa tenang, dan wajah pun akan berseri.
Memang benarlah untuk apa kita menyimpan dendam kesumat di dada kerana dada kita sendiri pun akan terasa sakit kerana dendam itu. Selain rasa benci, marah dan tertekan, apakah kebaikan yang akan kita peroleh kerana menyimpan perasaan tersebut?
Kerap juga berlaku perselisihan antara rakan, adik beradik, ibu bapa dan anak beranak yang terputus kerana masing-masing lebih mendaulatkan rasa ego daripada merendahkan hati untuk saling memaafkan di antara satu sama lain.
Sebenarnya semua masalah seperti ini akan menjadi mudah, apabila kita berjaya memulakan langkah pertama iaitu melapangkan dada untuk memberi kemaafan, walau sebesar apa pun kesalahan orang lain kepada kita.
Semoga kita tidak terperangkap dalam ataupun tergolong dalam 'penjara dendam'. Dengan memberi kemaafan kepada orang lain, orang juga akan sentiasa memaafkan kita. Dan rezeki orang yang sentiasa memaafkan orang lain ini akan dilapangkan Allah, paling tidak rezeki hati yang tenang.
"Jangan biarkan hati kecil kita mati kerana membesarkan hati besar kita itu."