Hakikat, dan kejayaan di dunia ini hanya hebat jika gemanya terus berbunyi di akhirat.
Friday, 20 October 2017
ADAB BERDOA. LEPAS DI MULUT, LEPAS DI HATI
Sudah menjadi amalan rutin ketika berdoa, individu meluahkan segala hajat tidak kira hajatnya panjang atau pendek maka semuanya diungkapkan dengan lidah secara jelas dan terperinci. Bagi individu yang kreatif serta mampu menyusun bait-bait doa yang indah serta berkesan di hati maka gaya bahasa yang indah itu diluahkan ke hadrat Ilahi.
Tidak kira daripada mana sumber doa yang dipilih, baik doa yang bersumberkan al-Quran dan al-hadis atau doa ciptaan sendiri, doa itu disebut atau diluahkan melalui mulut. Doa terus diamalkan sebagai suatu ibadah yang dilakukan demi memenuhi keperluan hidup sebagai hamba.
Berdoa pada tahap inilah yang dimaksudkan dengan melepaskan doa di mulut. Cakap atau sebutlah segala hajat anda ke hadrat Ilahi berserta harapan doa itu diperkenankan. Usah jemu meluahkan permintaan anda melalui kata-kata kerana Tuhan tidak pernah jemu mendengar kata-kata permohonan daripada hamba-hambanya.
PRIHATIN SOAL HATI
Sebenarnya tidak ada kesalahan pada tahap doa di mulut ini. Individu bebas menyatakan segala doa dengan sepuas hati kepada Ilahi. Cabaran berdoa adalah tentang persoalan di hati. Adakah doa itu terbit daripada hati yang pasrah dengan menyerah serta melepaskan segala-galanya kepada Ilahi.
Sesungguhnya Islam amat mengambil berat tentang hati ketika berdoa. Hati menjadi tumpuan pandangan Allah swt. Hati menjadi penyebab bagi doa diterima atau ditolak. Keadaan hati menyumbang kepada kesungguhan serta kepasrahan ketika berdoa.
Bagaimana dikatakan seseorang belum melepaskan di hatinya ketika dia berdoa, walau dia sudah melepaskannya di mulut? Contoh mudah, individu berdoa dalam keadaan lalai. Mulut berdoa tetapi hati dan perasaan entah ke mana. hati tidak memahami atau menghayati apa yang diungkapkan oleh mulut.
Contoh yang lain, individu berdoa dalam keadaan hati masih ragu-ragu terhadap Tuhan. Doa diluahkan di mulut namun hati masih ragu-ragu, adakah tuhan akan makbulkan doa itu. Hati masih ada rasa syak terhadap janji-janji Tuhan yang telah berjanji akan memperkenankan setiap permintaan hamba-Nya.
Sebagai contoh yang lain, individu yang berdoa dalam keadaan dia merasai bahawa segala yang dimiliki boleh membantunya andai hajatnya belum dipenuhi. Bagi individu yang berharta maka dia merasai hartanya boleh membantunya. Bagi individu yang berkuasa atau pengaruh maka dia merasai kuasa dan pengaruh yang ada itu boleh membantunya dalam keadaan tertentu.
Inilah gambaran berdoa tanpa melepaskannya di hati. Individu berdoa dengan kesombngan hati. Mereka berdoa sekadar melafazkan di mulut melalui kata-kata tetapi hati masih berprasangka negatif terhadap Allah swt.
BELAJAR PASRAH DIRI KEPADA TUHAN
Justeru itu, bagi mencapai maksud yang positif daripada doa yang dipanjatkan maka individu disarankan untuk berdoa dalam keadaan benar-benar pasrah diri kepada kepada Allah swt. Mulut melafazkan doa dan hati membenarkan kebesaran dan keagungan Ilahi.
Cuba didik hati untuk merasai bahawa diri ini tiada apa-apa [kosong] Segala yang dimiliki pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah swt. Selarikan apa yang diucapkan di mulut dengan rasa di hati yang menyerahkan segala urusan hidup ini ke hadratNya. Mudah-mudahan hati beroleh kelapangan dan kepuasan pada setiap kali doa dipanjatkan.
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas." [Surah al-A'raf, ayat 55].
~ sumber majalah mingguan wanita.
Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...
-
Perjalanan hidup kita tidak seharusnya berpandukan apa yang terbentang di mata sahaja. Ia memerlukan perancangan agar kita dapat mene...
-
Bagaimana kita boleh berbangga sedangkan apa yang kita miliki hanyalah pinjaman semata. Semuanya milik Allah. Semua rezeki yang ...
-
Nama penuh: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim Nama ibu: Ami...