Maksud: "Allah yang menerangi langit dan bumi. Perumpamaan nur Allah adalah seperti sebuah lubang yang di dalamnya ada sebuah pelita. Pelita itu di dalam kaca, kaca itu pula laksana bintang yang bersinar seperti mutiara, pelita itu dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang diberkati iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat yang minyaknya hampir-hampir memancarkan cahaya bersinar walaupun ia tidak disentuh api, cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah mengemukakan pelbagai perumpamaan untuk manusia. Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu." (Surah al-Nur 24:35)
Intipati Ayat.
Apabila seorang mukmin meletakkan iman dan al-Quran dalam hati, maka dadanya seperti misykah iaitu lubang yang tidak dapat ditembusi.
Pelita besar ialah al_Quran yang berada dalam dada. Kaca pula seperti hati yang bertindak menjaga al-Quran. Manakala bintang yang berkerlipan seperti mutiara adalah bandingan hati yang telah disinari oleh al-Quran dan keimanan.
Seterusnya, maksud ia dinyalakan oleh minyak daripada pohon yang diberkati adalah melambangkan keikhlasan yang bertapak dalam hati Mukmin.
Pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya pula merujuk kepada kondisi Mukmin yang sentiasa mendapat penjagaan daripada Allah bahkan selamat daripada fitnah. Walaupun ditimpa ujian, dia akan diberi kekuatan oleh Allah.
Hidayah Allah.
Pada dasarnya, seluruh alam semesta berada dalam kegelapan. Kemudian Allah memberikan cahaya-Nya pada tempat tertentu dengan menjadikan bintang, matahari dan bulan sebagai sumber cahaya yang menerangi sekelilingnya. Oleh yang demikian, kita dapat fahami secara zahir bahawa nur yang dimaksudkan adalah cahaya.
Namun dari sudut yang lain, nur bermakna hidayah yang Allah kurniakan buat hamba-Nya yang terpilih.
hal ini sebagaimana hadis Rasulullah: "Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk -Nya dalam kegelapan, lalu Dia melemparkan kepada mereka suatu cahaya daripada cahaya-Nya. Maka sesiapa yang terkena cahaya itu, dia mendapat petunjuk dan sesiapa yang terlepas daripadanya, maka dia akan sesat." (Riwayat al-Bazzar).
Malah menurut Al-Nasafi dalam tafsirnya dan Al-Suyuti dalam Al-Dur al-Manthur, daripada Ibn Abbas, Ibn Mas'ud dan Ubay, Allah memberikan cahaya-Nya kepada orang beriman sekali gus menjadikannya berada dalam naungan Allah cahaya Allah. Ayat ini merujuk kepada Mukmin yang berpegang teguh kepada iman dan al-Quran.
Cahaya Atas Cahaya
Apakah yang dimaksudkan dengan cahaya atas cahaya? Bukankah secara zahir, ia dilihat seolah-olah
perkara mustahil?
Cahaya di atas cahaya ditafsirkan dengan lima cahaya yang diperolehi oleh Mukmin iaitu percakapannya cahaya, amalannya cahaya, kedua-dua tempat masuk dan keluarnya merupakan cahaya lalu disempurnakan baginya cahaya terakhir iaitu syuga yang akan menjadi tempat kembali pada hari akhirat.
Sebaliknya orang yang ingkar pula percakapannya kegelapan, amalannya kegelapan, kedua-dua tempat keluar dan masuknya kegelapan dan kesudahannya pada hari akhirat juga kegelapan iaitu neraka. Nauzubillah!
Orang kafir tidak ubah seperti mayat yang hidup dalam kalangan manusia. Dia tidak mengerti tanggung-jawab kepada orang lain. Demikianlah mafhum tafsiran Ubay bin Ka'ab seperti yang dikemukakan dalam Al-Dur al- Manthur.
Apabila nur Allah menerangi hati, wajah dan lisannya juga akan diliputi cahaya. Hasilnya, kata-katanya ibarat ubat yang menenangkan. malah hatinya akan ikhlas dalam segala tindak tanduk yang dilakukan.
Sebaliknya orang yang tidak beriman kepada Allah akan berada dalam kegelapan. Wajah dan hatinya diliputi kegelapan atas kegelapan. Percakapannya menyakitkan hati, bahkan perilakunya pula menimbulkan keresahan manusia di sekitarnya.
Malah hidupnya penuh pembohongan. Dia sentiasa memandu manusia berpandukan syahwat dengan menawarkan kesenangan yang hanya berbentuk fatamorgana. Malangnya, ada juga manusia yang menurutinya sekaligus terjebak dalam keseronokan yang menipu bahkan berakhir dengan kesengsaraan.
Sesungguhnya Allah akan membimbing hamba-Nya yang dikehendaki kepada cahaya-Nya. Perbanyakkanlah berdoa. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kelompok tersebut.
Wallahu a'lam.
Dua Golongan.
Hidup dalam cahaya
* Orang yang berilmu.
* Hidup dengan aman dan tenang bahkan dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat.
* Diibaratkan seperti orang yang dapat melihat dengan baik di tempat yang teduh dan sejuk.
Hidup dalam kegelapan
* Orang jahil
* Tidak berilmu.
* Hidup sempit dan kacau bilau.
* Dibebani pelbagai kesusahan dan kesengsaraan.
* Diibaratkan seperti orang buta dan berada pada tempat yang amat panas.
~sumber majalah al-ustaz.