Dari Zubair bin Awwam r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya
Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api,
kemudian dibawanya siikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan
Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik
baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi
ataupun tidak. (Al Bukhari)
Huraian
Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan
cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu,
sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya.
Bukankah rezeki Allah s.w.t. ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan
hanyalah mahu atau tidak kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang itu
ke lembah kehinaan.
Begitu juga dengan sikap malu biarlah bertempat. Kata orang malu
bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki
alamat hidup akan melarat.
Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting
tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal
berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.
Wallahu a'lam.
Pujangga berkata:
Perbanyakkan membaca istighfar, kerana dengan istighfar akan ada rezeki,
akan ada jalan keluar, akan ada keluarga, akan ada ilmu yang berguna,
akan ada kemudahan dan akan ada penghapusan dosa.
- sumber perjalanan yang singkat.