Syukur kepada Allah SWT,atas limpah kurniaNya masih memberikan kita nikmat dalam mengecapi kehidupan sebagai seorang pengembara dunia. Kehidupan yang bermusafir ini tentu sekali akan ada akhirnya. Dan yang pasti,walau di mana dan bagaimana ia bemula, destinasi akhir yang dituju pastinya sama. Cuma samaada kita bahagia dengan destinasi yang dituju atau derita yang menunggu.
Menyentuh tentang musafir dunia. Terasa diri ini sedang meniti kehidupan yang bertingkat-tingkat. Tangga demi tangga didaki, bermula dari bawah, hingga semakin lama semakin jauh dari masa lalu,dan makin menghampiri kepada Allah Rabbul Jalil walaupun pada hakikat roh dan ilmu itu terasa sangat banyak kekurangan dalam menuju kesempurnaan nikmat cinta dan redha Allah SWT. Namun itulah aturan hidup manusia. Supaya kita tergolong dalam golongan orang yang bijak seperti yang pernah disebutkan Rasulullah SAW.
Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?
“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)
Dalam kita merasai segala nikmat Allah, janganlah pula kita lalai dari-Nya,dan lebih dari itu,janganlah pula kita berpaling dari-Nya. Kerana diri ini terasa terlalu lemah, lemah untuk berjalan di atas nikmat dan kesenangan, maka adalah lebih baik kita semaikan ingatan pada Allah,supaya kita akan sentiasa berwaspada dengan apa yang kita peroleh agar diri tidak lalai dan supaya nikmat pemberian Allah itu terasa nilai barakahnya.
- sumber.