Monday, 27 June 2016

Apa Punca JIWA KOTOR ?




Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Ketahuilah, sesungguhnya dalam jasad manusia terdapat segumpal daging, apabila dia baik maka jasad tersebut akan menjadi baik, dan sebaliknya apabila buruk maka jasad tersebut akan menjadi buruk, Ketahuilah segumpal daging tersebut adalah "qalbu" iaitu hati." (HR Bukhari).

Apa yang boleh difahami daripada hadis di atas,hati sangat berperanan dalam kehidupan jiwa manusia, kerana hati yang bersih akan melahirkan jiwa yang bersih dan selalu taat serta tunduk terhadap perintah Allah s.w.t. Sebaliknya hati yang kotor akan mempengaruhi jiwa untuk melakukan
perkara-perkara yang tidak baik dan selalu melanggar aturan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t

Jiwa yang kotor adalah jiwa yang tidak bertauhidkan Allah s.w.t. Jiwa menjadi kotor disebabkan oleh penyakit yang menghinggapi hati sehingga jiwanya dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah(penyakit hati) seperti riak, hasad dengki, pemarah, dendam, tamak haloba dan sebagainya.

Hati yang dipenuhi dengan cintakan keduniaan juga menjadi penyebab kepada kerosakan jiwa, sedangkan cinta yang perlu ada dalam hati hanyalah kecintaan kepada Allah s.w.t.

Sebagaimana orang yang ditimpa sakit tidak terdaya dan tidak bersemangat untuk berbuat apa-apa, begitu juga orang yang sakit jiwanya, tidak mampu berbuat kebaikan. Sebaliknya mereka ini lebih terdorong untuk melakukan perkara yang tidak elok dan berdosa.

Orang yang berjiwa kotor tidak akan memperolehi ketenangan dalam hidupnya. Dirinya akan sentiasa resah dan gelisah disebabkan oleh perbuatan dan kesalahan yang dilakukannya belum lagi diselesaikannya, samada melibatkan dosanya dengan manusia atau dengan Allah s.w.t.

Sekiranya seseorang itu belum pernah melakukan dosa-dosa besar, tetapi jiwanya tidak tenang, seharusnya dia muhasabah dirinya. Mungkin ada perbuatan dosa-dosa kecil yang dilakukan tanpa disedari. Ini adalah kerana dosa-dosa kecil apabila dilakukan secara berterusan boleh menjadi titik hitam dan lama kelamaan boleh merosakkan hati dan menjejaskan segala amal kebaikan yang dilakukannya.

Dosa-dosa kecil ini ibarat debu yang mengotori cermin, apabila cermin tidak dibersihkan, debu-debu akan mengotori cermin sehingga tidak dapat melihat wajah kita di cermin tersebut. Lebih teruk lagi apabila seseorang itu berterusan melakukan dosa dan bermegah-megah dengan dosa yang dilakukan. Ini akan mengakibatkan hati dan jiwanya menjadi kotor sehingga menutup ruang kebaikan yang ada dalam hatinya.





SEBAB JIWA JADI KOTOR.

Ada beberapa perkara yang menyebabkan jiwa menjadi kotor, iaitu:

Rosak akidah, sehingga sanggup mempertikaikan hukum Allah s.w.t. dan tidak takut melanggar perintah dan larangan-Nya.

Miskin akhlak, berperangai buruk dan cenderung melakukan kejahatan dan maksiat serta bermegah-megah dengan nya.

Hubungan dengan Allah tidak baik, seperti tidak menunaikan segala suruhan yang diperintahkan Allah s.w.t. seperti mendirikan solat, berpuasa, menunaikan zakat, haji dan sebagainya.

Hubungan yang tidak baik antara sesama manusia. Contohnya bersikap individualistik, tidak bertegur sapa serta bersikap materialistik.....






"Akhir-akhir ini banyak sekali kerosakan akhlak yang melanda umat Melayu yang beragama Islam. Ini boleh dilihat dengan berleluasanya amalan seks bebas dan seks songsang, masalah pembuangan bayi, rempit dan berbagai-bagai lagi kerosakan akhlak. Antara punca ini berlaku adalah hubungan anak dengan ibu bapanya tidak elok. Masyarakat kita pada hari ini rosak disebabkan oleh rintihan dan tangisan ibu dan ayah terhadap perlakuan anak-anak mereka.

"Ada daripada kita yang tidak menjaga adab dengan ibu bapa, ada yang menganggap ibu bapa seperti rakan sebaya malah ada yang sanggup membentak dan menderhaka kepada kedua-dua insan yang membesarkan kita dengan penuh susah dan payah.

"Berapa ramai pula daripada kita yang langsung tidak menjenguk dan bartanyakan khabar ibu dan bapa di kampung disebabkan sibuk dengan urusan kerja dan aktiviti seharian. Berapa ramai pula ibu dan bapa yang dihantar ke rumah perlindungan, lebih teruk lagi ada yang sanggup membiarkan ibu dan bapa mereka hidup melarat, dan dibiarkan merempat tanpa penjagaan yang sewajarnya.

"Berkata Imam Ghazali; "Seorang ibu yang menangis walaupun sebesar lalat, sudah cukup Allah s.w.t. menjunamkan anaknya ke dalam api neraka selama 60 tahun," Kata-kata ini menggambarkan betapa besarnya dosa dan kesalahan menyakiti hati ibu dan bapa.
Mengundang kemarahan ibu bapa sama ertinya dengan mengundang kemarahan dan kemurkaan Allah s.w.t. Begitu juga sebaliknya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang memancing kemarahan ibu dan bapanya bererti dia memancing kemurkaan Allah s.w.t. dan sesiapa yang menyukakan hati ibu bapanya bererti dia membuat Allah s.w.t. redha kepadanya." (HR Baihaqi)

"Tanda Allah s.w.t. sayang kepada hamba-Nya ialah, apabila seseorang itu ingin berbuat kebaikan, Allah akan membuka jalan seluas-luas padanya. Tetapi jika dia ingin berbuat kejahatan, ada saja halangan yang menimpa. tetapi sekiranya Allah sudah tidak sayangkan hamba-Nya dan tidak mempedulikannya lagi, Allah akan membuka segala ruang dan jalan untuknya berbuat kejahatan.

"Janganlah sampai Allah s.w.t. sudah tidak sayang dan memperdulikan diri kita.Seandainya ada dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan, hendaklah kita segera bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t.




- sumber dari majalah iman




Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...