Orang keji atau puji baginya sama sahaja.
Dipuji hati tak berbunga, dikeji hati tidak pula derita.
Kalau dia rajin atau beribadah diwaktu sorang atau diwaktu ramai sama sahaja.
Tak pula bila ramai panjang berjela doanya, agar dikata alim ilmu agamanya.
Apabila letih bekerja, dia tidak marah-marah pula dengan orang lain yang menggangunya atau langsung tak buat kerja.
Tidak pula naik angin atau banding-bandingkan kerjanya kerana ia yakin Tuhan sentiasa memerhatikannya kerana kerja juga ibadah niat kerana NYA.
Kalau dia membuat ibadah atau berbuat kerja hatinya tidak pula berkata "moga-moga ada orang yang melihat dan memujinya."
Dilihat atau tidak dari segi bekerja atau beribadah, dia tekad buat itu semua kerana Allah sebab dia yakin jika dia ikhlas benda susah akan menjadi mudah.
Setiap kebaikan yang dia buat dia tak suka orang lain melihatnya kerana ia bimbang hatinya berbunga-bunga.
Kerana itu dia tahu semua nikmat Tuhan yang punya kuasa, bagi dirinya hanyalah hamba yang hina.
Kalau di puji susah hatinya, resah gelisah dibuatnya,. Namun kalau dikeji hatinya boleh menerima apa sahaja, dalam hati kecilnya selalu berkata "Aku hamba Allah tentu ada cacat celanya."
Kalau dipuji, pertama yang keluar dari mulutnya "Syukur Alhamdulillah" dikeji juga bersyukur kerana telah membetulkan kesilapan dirinya yang mungkin secara tidak sengaja dilakukan.
Dia berbuat baik bukan kerana digesa-gesa, tapi sayang sesama manusia dan cintai kepada Tuhannya.
Tanpa disuruh atau dipaksa dengan sendiri dia akan menghulurkan bantuan dengan wajah yang ceria sedikitpun tiada selindung kata dalam hatinya.
Dia berbuat bukan kerana sudah kehendak masyarakat, kalau tak buat apa kata orang pula.
Bagi dirinya jawatan itu satu amanah yang tertanggung di bahunya bukan masyarakat yang ditakutinya tapi azab Allah itu menjadi perkara yang terpenting punca segala azab derita dunia dan di akhirat sana.
Dia tidak bersikap kalau rajin dipuji dia akan rajin buat, kalau tak dipuji langsung tak buat.
Baginya segala pujian hanya bagi Allah semata-mata kita di dunia hanya sementara dipuji atau dikeji
semuanya pun akan mati tapi yang baik akan sentaisa diingati....dikeji akan selalu dijauhi untuk diteladani.
Dia juga bukan orang yang kebaikannya suka sangat hendak menyebut-nyebut supaya orang tahu.
Dia sentiasa malu dengan apa yang telah diberikannya kerana dia akan rasakan terlalu sedikit sumbangannya kerana itu dia tidak suka menyebut-nyebut , dia malu andai orang tahu segala apa yang diberikannya itu timbul hati berbunga riak, kerana dia tahu pemberian Allah padanya berlebih lagi tiada terhitung olehnya.
Bukan pula dihadapan orang dia rajin, bertertib dan berakhlak mulia.
Badi dirinya adalah sama di hadapan atau di belakang orang sekalipun dia senantiasa diperhatikan oleh Allah, dia tidak selindungkan apa sahaja dari manusia tentang dirinya yang patut semua tahu dan andai dia rasakan ada yang patut dia sembunyikan itu semua kerana dia mahu orang lain bimbang akan dirinya berlebihan dan mewujudkan simpati orang, dia ceria dan ramah dengan semua kerana itu ukhwah sesama manusia, namun batasan tetap dijaganya biar terkadang orang tersalah anggapan, namun niatnya tetap satu bukan untuk dirinya segala apa yang dilakukannya itu.
Itulah niat hatinya tetap sama andai terpahat disanubarinya tak akan hilang andai dibawa ke mana-mana, tak akan berkurang sedikit pun andai selalu disebutnya, selagi nyawa masih dijasad selagi itu sentiasa terpahat kalimah keramat.......
"Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah."
sumber dari Sebutir kasih Sejuta sayang.