Dalam perhubungan sesama manusia, hubungan antara anak dengan kedua-dua ibubapa mempunyai mertabat yang sangat tinggi dan istimewa berbanding dengan yang lain. Bagi seseorang anak, dia hendaklah mendahulukan mereka sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah dan Rasul.
Kemuliaan dan ketinggian mertabat ibubapa itu bukan diangkat oleh siapa-siapa, tetapi diangkat dan dimuliakan oleh Allah s.w.t. Ini jelas dapat dilihat melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua: dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa." (An-Nisaa: 36)
Di dalam ayat ini setelah Allah s.w.t. memerintahkan hamba-Nya untuk mentauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah s.w.t. juga turut menyuruh hamba-hambaNya agar berbakti kepada kedua-dua ibu bapa mereka.
Dalam ayat ini juga dapat difahami bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya.
Sebab apa Allah meletakkan martabat ibu bapa di kedudukan yang begitu tinggi sekali? Tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh besarnya jasa dan pengorbanan mereka. Tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu bapa.
Dengan bersusah payah ibu mengandungkan dan melahirkan. Kemudian ibu bapa kita mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih sayang. Oleh itu, dalam membina hubungan sesama manusia, sewajarnyalah ibu bapa mendapat keutamaan lebih daripada orang lain.
Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan, tetapi ianya merupakan tuntutan syarak dan hukumnya adalah fardu ain. Ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syarak, diantaranya sebagaimana terkandung di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah !', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka , tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al- Israk: 23-24)
Maksud 'berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa' sebagai mana yang disebutkan dalam ayat di atas, bukan sahaja menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan daripada sebarang kekasaran yang boleh melukai hati kedua-duanya, tetapi termasuk juga tuntutan menjaga ibu bapa setelah mereka tua. Ini kerana saat-saat meniti hari tua adalah penantian kehidupan yang sangat menggusarkan fikiran.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah.
"Maka Rasulullah ditanya: " Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada kedua-duanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga( lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (HR Muslim).
Berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad.
Kedudukan istimewa ibu dan bapa itu semakin terserlah apabila Rasulullah s.a.w. pernah tidak membenarkan seseorang melaksanakan satu misi yang besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya tidak mendapat keizinan ibu bapa, dan bakal mengundang kesedihan kepada kedua-duanya.
Diriwayatkan bahawa ketika peristiwa hijrah, terdapat seorang sahabat yang telah datang kepada Baginda dengan memberi taat setia (bai'ah) untuk turut berhijrah, namun perbuatannya ini telah menyebabkan kedua-dua ibu bapanya menangis. Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: "Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis."
(HR Imam an-Nasa'i).
Dengan peristiwa lain, seorang lelaki dari Yemen telah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w. untuk berjihad bersama Baginda namun apabila Baginda mendapati dia belum mendapat keizinan daripada kedua-dua ibu bapanya maka Baginda bersabda: "Kembalikanlah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah, akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua."(HR Abu Daud).
Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibubapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad. Malah keredhaan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada keredhaan kedua-duanya.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa." (HR at- Tirmizi)
Menyentuh tentang jasa ibubapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan airmata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya. Maka sewajarnyalah dan menjadi satu kewajipan kepada anak-anak membalas segala jasa dan pengorbanan kedua-dua orang tua mereka.
Oleh itu, berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapa dan melayan kedua- duanya dengan sebaik-baiknya serta menjadi satu kewajipan kepada kita untuk mendoakan mereka dan perlu dijadikan amalan setiap hari. Apatah lagi sekiranya kedua-duanya telah meninggal dunia. Doa anak yang salih akan terus menerus sampai kepada ibubapanya yang berada di alam kubur.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan dokanlah (untuk mereka dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."(Al-Israk:24)
Dukung Ibu.....
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yemen yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: "Apakah dengan berkhidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?"
"Jawab Ibnu Umar: "Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalaipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu."