Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:"Dan Dialah yang telah mengurniakan kepada kamu daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak dapat menghitungnya (satu persatu). Sesungguhnya manusia itu sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya serta tidak menghargai nikmat Tuhan-nya." (Surah Ibrahim 14:34)
Boleh jadi kefahaman kita terhadap maksud syukur itu masih samar sehinggakan kita hanya memilih-milih waktu tertentu dalam menzahirkan kesyukuran kepada-Nya, sedangkan kesyukuran itu sebenarnya tidak mampu kita ucapkan kesemuanya kerana kurniaan nikmat Allah s.w.t. terlalu banyak.
Syukur dari kaca mata Tasawuf.
Syukur dari segi bahasa ialah suatu tindak balas yang baik sama ada menerusi perkataan atau perbuatan yang baik terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang sebagai menghargai kebaikan itu.
Dari segi istilah tasawuf pula,pendapat ahli sebahagian ahli sufi dalam menjelaskan takrif sifat terpuji ini :
Syeikh Muhammad Abduh (tokoh sufi) : erti syukur ialah ......apabila seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat kurniaan Allah s.w.t.
Ibn Ujaibah (tokoh sufi) : erti syukur ialah .....kebahagiaan hati atas nikmat yang diperoleh, kemudian diiringi dengan mengarahkan seluruh anggota tubuh untuk tunduk dan patuh kepada-Nya dan mengakui dengan penuh rendah hati keluasan nikmat yang diterima daripada-Nya.
Ibn Alan al-Siddiqi (tokoh sufi) : erti syukur ialah .....pengakuan terhadap nikmat yang diterima dan sikap suka membantu.
Abu Bakar al-Warraq (tokoh sufi) : erti syukur ialah .....dengan memerhatikan pemberian-Nya dan menjaga kehormatan.
Junaid al-Baghdadi (tokoh sufi) : erti syukur ialah ..... apabila kamu menyedari bahawa kamu bukanlah pemilik kenikmatan yang diperoleh.
Namun secara kesimpulannya dapat difahami bahawa kesyukuran itu ialah pengakuan sifat lemah para hamba dalam mengagungkan zat-Nya yang kemudiannya diiringi dengan perlaksanaan ketaatan hanya kepada-Nya yang meliputi zahir dan batin.
Lemahnya Manusia di Hadapan Pemberi Nikmat.
Antara jutaan umat yang begitu teruja dengan karya-karya al-Allamah Muhammad Mutawalli al- Sya'rawi, seorang musafir ulung abad ini yang meninggal dunia pada sekitar tahun 1998.
Antara karyanya ialah Mukjizah al-Quran. Pada mukadimah kitab ini, al-Allamah Syeikh al-Sya'rawi membicarakan dengan panjang lebar mengenai Kesyukuran.
A-Allamah Syeikh al-Sya'rawi menyatakan bahawa sebijak manapun manusia di dunia ini dengan pelbagai gelaran yang disandang dalam bidang kajian dan ilmu, percayalah tidak akan ada seorang pun manusia mampu membuat kajian dan penyelidikan tentang bilangan nikmat yang telah Allah s.w.t kurniakan. Inilah kebenaran firman-Nya menerusi ayat suci al-Quran sebagaimana yang termaktub dalam surah Ibrahim ayat 34(di atas).
Malah, seramai mana pun pakar bahasa, sastera dan ahli pidato di dunia ini berkumpul untuk mencipta satu kalimah bagi menyatakan terima kasih dan kesyukuran atas nikmat yang diperoleh, tidak akan ada kalimah yang terhasil bagi benar-benar dapat menyatakan rasa syukur terhadap nikmat-nikmat Allah yang telah kita peroleh itu. Itulah kelemahan manusia. Jadi, seharusnya kita tunduk hanya kepada-Nya.
LAFAZ HAMDALAH
Allah s.w.t dengan kesempurnaan Zat-Nya, keagungan sifat-Nya dan ketinggian nama-Nya telah mengajar manusia lafaz kesyukuran yang layak bagi-Nya. Dengan keagungan Allah itu, manusia seterusnya mengharungi kehidupan dengan segala ketaatan kepada-Nya semata. Atas dasar inilah Allah memulakan kalam-Nya dalam Ummul Kitab (al-Fatihah) dengan kalimah "Alhamdulillah".
Bahkan ketika penulisan ini disusun, penulis turut merasakan terlalu banyak kekurangan untuk melengkapkan definasi syukur itu sendiri.Mana mungkin hendak dizahirkan kalimah kesyukuran itu jika yang memuji itu seorang hamba yang penuh kekurangan di hadapan Tuhan yang berdiri dengan segala kesempurnaan?
Bahkan untuk melafazkan rasa syukur itu sendiri pun, manusia yang lemah ini menerima kalimah daripada-Nya jua. Oleh sebab itu, bersyukurlah kerana dikurniakan rasa hina di hadapan-Nya yang Maha Sempurna.
Wallahu a'lam.
- sumber majalah solusi.