Pada zaman Syaidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang bermaksudnya:
"Ya Allah, Masukkanlah aku ke dalam golongan yang sedikit."
Doa beliau didengar oleh Syaidina Umar ketika Syaidina Umar sedang melakukan tawaf di Kaabah. Syaidina Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas melakukan tawaf, Syaidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya:
"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam golongan yang sedikit). Apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"
Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin. Aku membaca doa berkenaan kerana aku takut dengan penjelasan Allah seperti
Firmannya yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan kami adalah bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur." (Surah Al-'Araaf : 10)
Aku memohon agar Allah masukkan aku dalam golongan yang sedikit, ia itu terlalu sedikit orang tahu bersyukur kepada Alllah.
Jelas pemuda berkenaan. Mendengarkan jawapan itu Umar Al-khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri.
"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu/
Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran dan nikmat dianugerahkan Allah s.w.t. Syukur bukan hanya meliputi perkara nikmat. Kita juga perlu bersyukur apabila terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana.
Pelbagai nikmat dianugerahkan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya. Keseluruhan nikmat dikurniakan perlu ada bukti yang memperlihatkan kesyukuran.
Bukti mensyukuri nikmat harta adalah apabila seseorang hamba itu membelanjakan hartanya di jalan Allah s.w.t.
Bukti mensyukuri nikmat kekuasaan diperoleh oleh pemimpin adalah menjadi pemimpin yang adil dan berusaha sekuat tenaga memberikan kesejahteraan kepada orang dipimpinnya.
Bukti mensyukuri nikmat ilmu adalah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.
Begitulah bukti mensyukuri nikmat yang lain dengan menggunakannya kepada jalan Allah s.w.t. Banyak pengajaran yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t mengenai mereka yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-Nya.
Antaranya, Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan.
Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. Hamman diseksa kerana kufur nikmat kecerdikan Allah s.w.t. berikan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat itu kepada kaum yang lain pula." (Hadis riwayat At-Thabrani)
Berdasarkan peristiwa dirakamkan ke dalam al-quran, ia membuktikan nikmat Allah s.w.t. yang tidak disyukuri akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya. Sesungguhnya sangat banyak nikmat yang Allah kurniakan tanpa kita sedari.
Allah menyatakan, jika kita cuba menghitung nikmat dikurniakan kepada kita, nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya." ( Surah An-Nahl : 18 )
Mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah, sedikit atau banyak, mereka itu masih jauh dengan rahmat Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan (ingatlah juga ), tatkala Tuhanmu memaklumkan. Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat ) kepadamu, dan jika kamu mengingkari ( nikmat-Ku ) maka sesungguhnya azabku sangat pedih." ( Surah Ibrahim: 7)
Bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah, seluruh hidupnya mengarah kepada tuntutan ibadah diperintahkan Allah s.w.t.
Kerap kali kita memikirkan sesuatu yang telah hilang sehingga lupa mensyukuri apa yang ada di depan mata. Kita merasa sedih kerana kekurangan material pada hal kita masih memiliki kunci kebahagiaan.
Oleh itu renungkanlah supaya kita sentiasa bersyukur dan janganlah kita termasuk golongan mereka yang ingkar.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal daripada Allah, tapi mereka mengingkarinya." (Surah An-Nahl:83 )
Justeru: Sentiasalah bersyukur kepada Allah swt tanpa bertangguh-tangguh. Jika kita menerima nikmat Allah keseluruhannya wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sedikit itu.
~sumber agama itu nasihat.