"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu solatlah kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang membencimu, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya)."
(Surah al- Kauthar 108: 1-3)
Catatan.
Banyak Yang Allah Beri
Antara sebab ayat ini diturunkan kerana ejekan yang dilemparkan oleh kaum kafir Quraisy selepas mendapat tahu kematian Qasim dan Ibrahim, anak lelaki Rasulullah bersama Khadijah yang masih kecil. Ayat ini memberi kesedaran bahawa nikmat yang telah dan akan Baginda terima sangat besar, baik di dunia mahupun di akhirat. Ujian yang diberikan adalah untuk mendidik Baginda agar lebih kuat dan sabar ketika berdakwah.
Telaga al-Kauthar
Sebahagian tafsiran menyebutkan bahawa al-Kauthar dalam ayat ini merujuk kepada telaga al-Khautar. Memang salah satu nikmat yang akan diberikan kepada Nabi dan umatnya ialah nikmat telaga al-Kauthar.
Anas bin Malik menceritakan bahawa, suatu hari dia melihat Nabi saw. tersenyum lalu dia bertanya sebabnya. Jawab Baginda, telah diturunkan kepadanya surah al-Kauthar iaitu nama bagi sebuah sungai besar yang akan diminum oleh umat Muhammad sebanyak bintang-bintang di langit.
(Riwayat Ahmad)
Solat Dan Berkorban
Banyak nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt selama ini. Disebabkan itu, Allah menyuruh hamba-Nya untuk menunaikan solat dengan ikhlas ketika mendapat nikmat, serta melakukan ibadah berkorban tanda kesyukuran. Inilah yang dilakukan oleh Nabi saw.