Friday, 8 September 2017

DESTINASI CINTA



Mencari, memberi dan menerima. Ada orang menghabiskan masa hidup mereka dengan mencari, mahupun memberi dan ada juga yang menerima. Ada yang terkejar-kejar dan yang paling selalu ialah, mereka yang setia menunggu. Mereka ini manusia biasa yang mempunyai jiwa dan perasaan. Mereka percaya  yang cinta ini adalah satu destinasi. Ikatan hati yang akan termeterai disulam cinta ini pada mereka adalah titik akhir di dalam perjalanan yang panjang dan tidak punyai kawasan rehat. Mereka tidak mampu bertahan lagi serta tidak amat tidak sabar lagi untuk sampai ke destinasi ini. Mereka jugalah individu-individu yang bergerak mengikut getar hati.


Filem-filem romantik di kaca televisyen, ayat-ayat cinta yang tepu gula dan bunga serta apa jua lafaz ikhlas sebuah rasa sayang, semua ini apa yang mereka gemar dan tunggu-tunggu. Pencarian ini bagai obsesi yang tidak penghujung. Yang pasti, ketahuilah, pencarian yang dililit tragedi itu punyai impaknya yang tersendiri. Ada yang menyebabkan hati remuk, tapi ada juga yang menampakkan cahaya di hujung terowong.


Pengharapan di dalam sebuah cinta, perjalanan mencari cinta, untuk jatuh cinta dengan cinta, semua ini merupakan sesuatu yang amat menyakitkan. Namun pengajaran yang tidak terkira akan kita peroleh tatkala melaluinya. Kita akan lebih kenal dengan resmi sebuah percintaan, dengan dunia percintaan serta dengan orang yang mencinta dan bercinta. Tapi, jalan ini bukan jalan senang, selalunya mereka yang melaluinya akan kecewa. Selalunya. Yang pasti, perjalanan yang diambil inilah yang akan membawa kita lebih dekat dengan Dia yang menciptakan segenap cinta.


Siapa yang memilih untuk menempuhi jalan ini selalunya akan faham bahawa ikatan cinta yang termeterai antara manusia ini bukanlah sebuah destinasi akhir. Cinta manusia ini adalah anugerah yang Allah swt berikan kepada kita, terkadang ianya alat untuk kita menjadi lebih dekat dengan-Nya, tetapi sesuai kita memilih untuk meletakkannya sebagai detinasi akhir perjalanan kita, sebagai sesuatu yang kita angkat dan kita julang, itulah tanda kita akan'jatuh'. Maknanya berkemungkinan untuk seseorang itu meneruskan kehidupannya dengan fokus yang salah. Jangan terkejut andai seseorang itu sanggup mengorbankan destinasi akhirnya demi kehendak dari kemahuan hatinya. Seseorang itu akan luangkan masa hidupnya berlari menuju 'destinasi' akhir dunia yang dihiasi keindahan palsu yang membutakan mata hatinya.


Tahukah anda apa itu 'maya'? 'Maya' ialah bayangan ilusi lopak air yang anda akan lihat di atas jalan raya, dataran atau di padang pasir yang disimbah panas matahari. Seseorang yang berlari menuju 'maya' ini tidak mungkin pernah sampai kepadanya kerana ianya hanya ilusi.
Tapi, masih, ada yang memecut laju mengejarnya, tega untuk jatuh luka tersungkur berdarah dan mengorbankan segenap daya untuk mengejar 'maya' ini. 


Ada kalanya, bergadai maruah dan jati diri pun tidak mengapa. Percaya atau tidak, kita tidak akan sampai ke detinasi dunia andai apa yang kita tujui itu adalah sesuatu yang sementara. Kesempurnaan yang kita mahu dan yang kita cari tidak akan kita temui dalam dunia semetara ini. Ianya hanya ada bersama  Tuhan, bersama Allah, kerana Dialah yang Maha Sempurna.




Tetapi ketahuilah sekiranya orang yang kita kahwini itu menjadi fokus kita yang paling utama di dalam hidup ini, ujian dan cabaran kita sebenarnya baru bermula. Kini, pasangan kita akan jadi ujian terbesar buat diri kita. Hanyalah sehingga kita alihkan titk fokus dan keluarkan dia dari dalam ruang hati kita yang sepatutnya hanya wujud Allah swt. di dalamnya, barulah kita tidak akan terluka. Memang, hal ini memang sangat ironi. Pasangan yang kita sayang sebenarnya dan sepatutnya menjadi alat untuk kita lebih mencintai Allah swt. Fahamilah bahawa ruang-ruang di dalam hati kita hanya diciptakan untuk diisi oleh Allah swt. dan Dia sahaja. Walaupun amat perit untuk menelan realiti ini apatah lagi mahu melakukannya, percaya dan yakinlah, sehingga kita belajar untuk hanya meletakkan Allah swt. di dalam hati kita, kita tidak akan pernah faham.


Di saat anda meniti jalan ini, jalan yang penuh onak duri, kehilangan dan kegagalan yang tidak pernah akhir, anda akan  kenal wujudnya dua jenis cinta. Jenis yang pertama ialah anda mencintai seseorang itu kerana anda peroleh sesuatu daripadanya yakni apa yang dia beri kepada kita, dan bisa buat anda rasa cinta itu. Hakikatnya, banyak percintaan yang jatuh tergolong di dalam jenis ini. Percintaan sebegini juga menjadi asas kepada hubungan-hubungan yang tidak stabil.


Sesungguhnya kapasiti seseorang itu untuk memberi tidak pernah sama dan akan sentiasa berubah-ubah. Kapasiti anda sebagai seorang yang menerima juga serupa, akan tidak tetap dan berubah-ubah.
Maknanya, anda akan sentiasa mengejar rasa itu dan tidak akan pernah berhenti. Kita tahu bahawa rasa dan perasaan ini tidak akan tetap, pasti ada naik dan turunnya. Jika cinta anda terikat kepada sesuatu yang tidak kekal, anda juga akan menerima kesan itu. Anda tidak tetap dan tidak stabil bila melibatkan hal perasaan. Tambahan pula, sudah menjadi lumrah dunia sementara ini, apa sahaja yang anda kejar, pasti akan lari pergi menjauh meninggalkan anda. Sungguh!!


Jenis cinta yang kedua ini adalah yang lebih indah dan jarang berlaku. Terkadang individu yang hadir dalam hidup kita, yang mencintai dan menyayangi kita bukan kerana apa yang boleh mereka berikan kepada kita, tetapi hanyalah dengan menjadi diri mereka sendiri. Zahir keindahan Sang Pencipta di dalam diri mereka, maknanya anda mencintai mereka. Kini, segala apa yang anda lalui dan rasai bukan lagi berkisar tentang apa yang boleh anda dapat daripada individu tersebut, tetapi apa yang bisa anda beri.  Ini cinta yang tulus dan jujur, yang tidak pentingkan diri, yang tidak ada istilah 'aku' atau 'saya' tetapi hanya ada 'kita'. Cinta sebegini tidak perlu bersaing dengan cintaNya, ianya malah akan memberi kenikmatan dan keindahan  yang akhir di dalam diri kita.

Tetapi jika cinta itu menjadi tempat pergantungan kita, tempat kita pasakkan segeanp mahu dan berharap ini itu, inilah resepi kekecewaan dan kesedihan yang membelenggu kita sekiranya kita membumikannya di dalam diri kita.





Bagi pencinta-pencinta yang tidak pernah berhenti mencari cinta di dalam hidup ini, ketahuilah cinta sebenar-benar cinta ada bersama Empunya segala cinta. Maka carilah cinta anda melaluiNya. Setiap satu perjalanan mencari cinta yang anda telusuri, andai tiada Dia di dalamnya, ianya persis racun yang anda minum. Bersedialah untuk diracun kekecewaan. Sedikit demi sedikit, racun itu akan memakan sel-sel anda hingga akhir sekali, terkujur sekeping hati yang terluka. Tiada ada jalan keluar yang lain daripada bahana racun itu, sehinggalah anda mulai meneguk air daripada Punca air yang Sebenar.


Sebaik sahaja pandangan anda melihat semua keindahan dunia ini menerusi lensa keindahan Allah swt. , anda akan belajar terus  untuk mencintai kerana-Nya. Setiap seorang yang anda cinta hanyalah kerana-Nya dan melalui-Nya. Oleh itu, secara langsung, apabila kasih sayang dan rasa cinta itu asanya ialah Dia, ikatan itu akan kekal dan tidak akan berubah-ubah. Perasaan yang dirasai itu bukan hanya sekadar angau atau apa yang serupa dengannya. Rasa yang anda alami nanti bukan lagi persis dadah, yang memberi kesoronokan yang sementara. Rasa yang anda pegang, yang anda kejar, itu semua paksinya Allah swt. dan Dia semata! Dialah yang paling stabil dan tidak langsung akan berubah-ubah mahu pun akan meninggalkan kita sendirian sendiri. Maknanya, apa sahaja rasa yang kita izinkan hati kita rasa akan melalui-Nya terlebih dahulu.



Segala apa yang kita ambil, beri, sayang, benci  akan berlaku hanya kerana-Nya. Bukan kerana ingin memuaskan nafsu yang meletus gempa di dalam diri kita tetapi kerana ingin mengecap manis cinta-Nya.


Ini juga bermakna, anda kan cinta apa yang Allah swt cinta dan benci apa yang Allah swt benci. Kini cinta anda bukan hanya perihal apa yang boleh anda dapat daripada mereka, tetapi apa yang boleh anda berikan dan bagaimana anda boleh balas cinta mereka. Anda pecinta yang mencinta dan juga yang memberi. Walau anda sentiasa beri apa yang anda mampu kepada dia yang anda cintai dan sayang, anda tidak akan rasa terhakis mahupun haus. Kerana apa? Kerana Allah swt akan mencukupkan anda dan yakinlah, sesiapa yang Allah swt cukupkan keperluannya, dialah  sang pencinta yang paling kaya dan pemurah kerana sumber seluruh cintanya datang daripada Allah swt. yang Maha Pengasih itu.


Cinta anda akan hanya kerana-Nya, daripada-Nya dan untuk-Nya. Inilah kebebasan sebenar! Inilah kebangkitan yang nyata daripada remuk redam sekeping hati yang patah! Inilah bahagia!

Dan inlah CINTA!




~ sumber buku Hati Ini Milikmu..

Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...