Siang dan malam silih berganti. Langit dan bumi merupakan tempat keberadaan makhluk ciptaan-Nya. Itulah antara tanda kekuasaan Allah. Maha Suci Allah. Tidaklah Dia menciptakan sesuatu dengan sia-sia.
Tidakkah kita mahu bertakafur menghayati hikmah ayat-ayat Allah al-Manzhurah ini selain ditambah lagi dengan ayat-ayat al-Maqruah sebagai panduan? Sesungguhnya di sebalik setiap ciptaan-Nya terdapat dalil bahawa Dialah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
Imam Ibn 'Athaillah pernah menyatakan: "Dia telah mengharuskan bagimu untuk engkau memerhatikan [meneliti dan mengkaji] apa-apa yang ada pada makhluk ciptaan-Nya."
"Tidaklah Dia semata-mata mengizinkanmu untuk sekadar melihat kepada diri makhluk-makhluk itu berdasarkan firman-Nya dalam surah Yunus ayat 101 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Perhatikan dan fikirkanlah apa-apa yang ada di langit dan bumi daripada segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya.'"
"Dialah jua yang menganugerahkan kefahaman yang benar. Tidaklah Dia berfirman: 'Lihatlah segala yang ada di langit itu supaya Dia tidak hanya sekadar menunjukkan kewujudan jirim dan jasad padamu."
MELIHAT DENGAN HATI
Ketahuilah bahawa Allah memerintahkan kita untuk mengkaji, memerhati, meneliti dan menghayati segala yang diciptakan sekali gus menunjukkan tanda-tanda kekuasaan-Nya dan keindahan penciptaan-Nya. Hal ini agar kita mengetahui sifat-sifat dan perbuatan Allah serta nama-nama kemuliaan-Nya.
Bukanlah tujuan-Nya hanya mahu kita sekadar melihat Dia sebagai Pencipta yang Maha Suci, bahkan Dia mengehendaki kita meneliti tanda-tanda kehebatan dan kekuasaan-Nya supaya kita terus teguh dalam keimanan dan ketaatan kepada-Nya.
Secara dasarnya, potongan ayat "Perhatikan dan fikirkanlah apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada segala kejadian yang menakjubkan" membawa maksud supaya kita sebagai hamba memahami bahawa setiap ciptaan itu wujud dengan kekuasaan Allah dan bukanlah dengan sendirinya.
Apabila memahami konteks ayat dengan tepat, nescaya kita akan lebih mengenali Allah setiap kali melihat penciptaan-Nya yang penuh kesempurnaan.
Tambahan pula, banyak ayat al-Quran menyuruh manusia memerhatikan segala yang ada di langit dan di bumi juga pada diri sendiri. Inilah salah satu sifat Ulul Albab yang dikurniakan kesempurnaan akal dan pemikiran yang jernih lagi bercahaya untuk memahami hikmah dan kebesaran Tuhan di sebalik makhluk ciptaan-Nya.
HAYATILAH KEAGUNGAN ALLAH
Ayuh umat manusia, marilah sama-sama kita berfikir, bertadabbur dan juga menghayati tanda-tanda kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Allah dalam menjadikan sesuatu dengan penuh ketelitian dan kesempurnaan. Setiap penciptaan-Nya mengandungi hikmah yang sangat halus untuk diambil iktibar serta dimanfaatkan seoptimumnya kerana itulah kehendak Allah ke atas hamba-hamba-Nya.
Semoga Allah mewariskan kepada kita sifat-sifat hamba-Nya yang soleh agar kita tidak lekang daripada mengingati-Nya dalam setiap keadaan, seterusnya menghayati dan mentadabbur segala ciptaan di langit dan di bumi.
Ayuh kita amalkan doa-doa daripada al-Quran dan sunah sebagai pelindung diri daripada segala maksiat dan juga api neraka. Mudah-mudahan kita kita sentiasa dalam jagaan dan kasih sayang Allah.
Wallahu a'lam