Berkata Imam Al-Ghazali:
"Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia."
Oleh sebab itulah kita perlu ubah percakapan kita daripada percakapan yang sia-sia dan keduniaan kepada percakapan yang membesarkan Allah swt dan percakapan yang haq iaitu perkara yang kita tidak nampak seperti kubur, mashyar, mizan, titian sirat, syurga dan neraka, untuk datangkan keinsafan dan peringatan buat diri kita.
Menurut Rasulullah saw. ada tiga jenis manusia, iaitu manusia yang mendapat pahala, manusia yang selamat daripada dosa dan manusia yang binasa. Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.
Berkata Saidina Ali bin Abi Talib: "Sikap seseorang tersembunyi di bawah lidahnya."
Kita dapat mengenali peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang bai-baik sahaja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.