SOMBONG
Abdullah bin Salam seorang pendeta Yahudi di Madinah. Ketika itu, beliau terkenal sebagai seorang Yahudi yang sangat menguasai kitab Taurat.
Apabila Rasulullah tiba di Madinah, beliau mendengar berita tentang Baginda dan tertarik untuk melihat Baginda. Seketika melihat wajah Baginda, beliau terus beriman kepada Allah. Beliau mendapati sifat-sifat Baginda ada sepertimana yang dijanjikan dalam Taurat.
Abdullah bin Salam terus menjadi seorang Muslim hingga akhir hayatnya. Beliau juga turut serta berjuang menegakkan dakwah Rasulullah.
Pada suatu hari, beliau berjalan di pasar dan memikul selonggok kayu bakar untuk keluarganya. Orang ramai yang melihatnyaberasa hairan kerana beliau merupakan seorang tokoh yang terhormat. Beliau boleh sahaja menyuruh orang lain melakukan pekerjaan kasar tersebut.
Seseorang lalu berkata kepadanya: "Mengapa tuan melakukan pekerjaan ini? Bukankah Allah telah mencukupkan tuan sehingga tuan tidak perlu melakukannya?"
Beliau menjawab: "Ya,namun aku ingin mematahkan kesombongan dalam hatiku kerana aku mendengar Rasulullah bersabda: "Tidak akan masuk syurga seseorang yang memiliki sifat sombong dalam hati walaupun sebesar biji sawi." [Riwayat Muslim]
PENGAJARAN
Setiap manusia sentiasa berisiko untuk terjerumus ke kancah kesombongan secara tidak sedar. Sombong ini banyak peringkatnya. Namun asasnya bermula apabila kita merasakan diri lebih baik daripada orang lain sekaligus memandang rendah pada mereka.
BISIKAN IBLIS
Diriwayatkan daripada Ibn Syihab al-Zuhri, iblis bertanya kepada Nabi Isa: "Wahai anak Maryam, bukankah musibah tidak akan menimpamu kecuali dengan ketentuan Allah?"
Nabi Isa menjawab: 'Benar wahai musuh Allah'
Iblis berkata lagi: 'Jika begitu, cubalah engkau naik ke puncak gunung lalu lemparkanlah dirimu dari atas. Lihat adakah engkau mati atau tidak?'
Isa menjawab: 'wahai musuh Allah. Sesungguhnya Tuhan boleh menguji hamba-Nya, tetapi hamba Allah tidak boleh menguji Tuhannya.'" [ Riwayat Imam Ahmad]
PENGAJARAN
Iblis makhluk Allah yang tidak pernah mengenal erti berputus asa dalam menyesatkan umat manusia. Janganlah kita yang sudah mengetahui kejahatan iblis mudah mengalah sehingga tewas dengan bisikannya.