Namun mereka lupa sebagai manusia, kecemburuan adalah sifat semula jadi yang wujud bersama makhluk selagi wujudnya nafas pada dirinya. Bezanya daripada seorang individu dengan individu yang lain hanyalah sejauh mana mereka mencemburui seseorang itu. Kita tidak boleh mneghilangkan 100 % sifat tersebut kerana kecemburuan wujud sejak manusia mula bertunas di muka bumi ini.
Ianya adalah awal sifat yang ada pada diri setiap makhluk. Hanya mereka yang bertaqwa kepada Allah swt yang dapat menguasai kecemburuan yang ada dalam hatinya. Tanpa Taqwa, kecemburuan akan berubah menjadi cemburu hasil daripada mencemburui satu sama lain.
Kata-kata orang lama, cemburu itu tanda sayang. Namun cemburu yang berlebihan adalah pintu kerosakan. Manakala cemburu buta adalah pemusnah sesuatu hubungan. Kita perlu mempunyai rasa cemburu kerana kecemburuan itu adalah sebahagian dari rasa sayang yang dikurniakan Allah swt kepada kita.
Sayang tidak pernah wujud sendirian melainkan datang bersama cemburu. Persis seperti duit syiling yang perlukan dua muka untuk bernilai. JIka hanya satu muka yang wujud maka hilanglah nilai duit biarpun berapa pun jumlahnya. Begitu juga jika sayang disebut-sebut tetapi tidak wujud sedikit pun cemburu maka sayang itu hanyalah kata yang tidak membawa nilai. Justeru, tidak salah untuk berasa cemburu. Tetapi sangat salah apabila ianya berlebihan tidak kena pada tempatnya.
Mencemburui akan mewujudkan persaingan. Apabila seseorang itu mencemburui maka terbitlah dua jalan untuk meredakan kecemburuan tersebut. Jalan pertama ialah berusaha untuk menjadi jauh lebih baik dari yang dicemburuinya. Manakala jalan kedua ialah dengan memusnahkan apa yang dicemburuinya. Memusnahkan tidak bermakna membunuh secara fizikal.
Memburuk-burukkan juga jatuh dalam kategori memusnahkan. Hari ini keadaan ini semakin berleluasa. Cemburu dan mencemburui bukan hanya wujud dalam hubungan kasih sayang. Ianya kini wujud dalam setiap aktiviti manusia termasuklah perniagaan. Buktinya ada yang sanggup memburuk-burukkan pesaing mereka demi keuntungan yang tidak seberapa. Mereka bukan bersaing kerana keuntungan. Mereka bersaing atas sifat cemburu. Masing-masing ingin menunjukkan yang mereka lebih baik.
Tidak salah bersaing andainya persaingan itu sihat dan memberi kebaikan tanpa terganggu silaturrahim. Tetapi sedihnya hari ini, persaingan yang wujud atas dasar cemburu sering membawa kerosakan akhlak dan memutuskan silaturrahim.
Sesuatu yang aneh yang ada dalam diri manusia ialah cemburu itu tidak dimanifestasikan kerana ketuhanan. Cinta dan sayang tidak akan hadir tanpa cemburu. Jika cinta dan sayang wujud tanpa kecemburuan maka cinta dan sayang itu sebenarnya wujud dengan penuh kepalsuan. Kita mengaku bersungguh-sungguh yang kita mencintai Allah swt dan Rasulullah saw . Kita sangat marah jika ada orang cuba mencemari kedudukan Allah swt dan Rasulullah saw. Kita mengatakan yang kita sanggup melakukan apa sahaja demi Allah....demi Rasul. Ironinya kita tidak pernah cemburu apabila melihat orang lain beriya-iya mahu mendekatkan diri kepada Allah swt. Kita tidak berasa cemburu apabila orang lain mengikut apa yang dilakukan oleh baginda saw kerana cinta dan rindu mereka kepada baginda saw.
Cuba kita renungi sepanjang minggu lepas. Berapa kali kita mencemburui orang yang membaca al-Quran? Berapa kali pula mencemburui orang yang berdirinya, duduknya, baringnya penuh dengan ingatan kepada Allah swt biarpun tidak diwar-warkannya. Berapa kali agaknya kita benar-benar rasa rindu kepada Allah swt dan Rasulullah. Mewar-warkan kerinduan di laman sosial, menampalkan sticker di kereta yang mengatakan kita mencintai baginda dan merindui baginda tidak pernah sama dengan merasa rindu dan cinta kepada baginda. Pernahkah kita berasa bersalah kerana mengatakan apa yang tidak kita rasakan sedangkan Allah swt Maha Mengetahui bagaimanakah perasaan sebenar kita terhadap-Nya dan Rasulullah saw. Tidak malukah kita berbohong kepada-Nya dengan mengatakan yang kita mencintai-Nya sedangkan tidak sekelumit pun wujud perasaan cemburu atas usaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya oleh insan lain.
Kita boleh menilai sedalam mana sayang kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw dengan menilai sekuat mana kecemburuan yang wujud dalam diri. Cemburu yang datang dari cinta dan sayang yang tulus tidak pernah mati. Ia tidak hilang bahkan sentiasa ada hingga dapat bertemu dengan-Nya nanti. Usah biarkan cemburu itu wujud hanya untuk dunia kerana ia sebenarnya wujud kerana cinta kepada-Nya.
CEMBURU KERANA CINTA